Monday, December 22, 2008

Tengku Ahmad Rithauddeen kecil hati dakwaan Mubarak

KUALA LUMPUR: "Kecil hati saya," kata Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen berhubung dakwaan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) kononnya lembaga itu lambat bertindak mengendalikan laporan amalan politik wang dan rasuah dalam parti.

“Mereka (anggota Lembaga Disiplin) kadang-kadang sehari atau dua hari tak balik rumah, tapi mereka (Mubarak) kata kita ini tak bertugas.

“Kecil hati saya. Mereka ini senanglah kata kepada kita. Ahli Lembaga Disiplin ni bukan (orang) muda. Nak cari (pilih) mereka ini bukan senang kerana mereka perlu terdiri daripada veteran, perlu jujur, bekerja untuk parti dan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mubarak, dalam satu kenyataan Jumaat lalu, berkata kelewatan Lembaga Disiplin Umno itu seakan-akan mahu perkara yang diadu itu dilupakan secara perlahan-lahan.

Timbalan Presiden Mubarak, Datuk Abdul Aziz Rahman mencadangkan supaya Lembaga Disiplin mengambil langkah segera bagi memastikan perkara itu dapat ditangani.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata bahawa sejak 29 Januari, panel penyiasatan lembaga berkenaan sudah bersidang 39 kali bagi mengendalikan laporan salah laku membabitkan 39 bahagian manakala Tribunal Lembaga Disiplin sudah bersidang sebanyak 10 kali membabitkan 25 bahagian dan panel rayuan sebanyak dua kali membabitkan dua bahagian.

Beliau juga mengedar kepada media senarai enam halaman mengandungi tarikh persidangan panel penyiasatan, tribunal dan panel rayuan.

Katanya dengan senarai itu boleh dilihat berapa hari mereka bertugas bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah di negeri kerana kesukaran pengadu dan saksi datang ke ibu pejabat parti di sini untuk memberi keterangan kerana ia membabitkan kos.

“Kita bersedia untuk pergi ke tempat berkenaan untuk siasat apa yang berlaku atas aduan yang kita terima dari mana-mana mesyuarat cawangan, bahagian dan kini pemilihan Majlis Tertinggi pula,” katanya.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata Lembaga Disiplin tidak mahu mendengar aduan berbentuk cakap dengar sahaja sebaliknya ia perlu memastikan setiap aduan itu tulen dan tidak ada unsur berniat jahat terhadap sesiapa.

Beliau juga berkata 11 anggota baru telah dilantik ke Lembaga Disiplin itu sejak minggu lalu untuk mempercepatkan siasatan dan bagi mendengar kes.

Mereka terdiri daripada bekas hakim mahkamah tinggi, bekas hakim mahkahmah rayuan, bekas anggota Badan Pencegah Rasuah (BPR), bekas anggota polis dan bekas anggota tentera.

Jumlah anggota jawatankuasa badan itu kini 25 orang.

Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dari Parti Keadilan Rakyat, yang mendakwa tahu mengenai wujudnya politik wang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata hanya anggota parti yang boleh membuat aduan kepada lembaga itu.

“Itu atas dia (sama ada buat laporan kepada BPR). Saya tak boleh nasihat dia, dia sangat bijak, beliau patut tahu apa yang perlu dia buat,” katanya. - Bernama

http://www.bharian.com.my/


0 comments: