Monday, December 15, 2008

Ratusan ribu penyokong Hamas rai ulang tahun


PENYOKONG berarak sambil mengibar bendera Hamas di Bandar Gaza, semalam.

Penduduk kibar bendera pergerakan di Bandar Gaza

BANDAR GAZA: Puluhan ribu penyokong Hamas memenuhi Bandar Gaza semalam bagi meraikan ulang tahun ke-21 penubuhan pergerakan Palestin yang menguasai Semenanjung Gaza sejak tahun lalu.

Bas yang dipenuhi penduduk memenuhi bandar itu sambil mengibarkan bendera hijau Pergerakan Perjuangan Islam.

"Hamas sudah berubah daripada zaman menggunakan batu sebagai senjata kepada penggunaan senjata api dan roket, daripada jumlah penyokong hanya beberapa ribu orang kepada jutaan dari negara Arab dan di seluruh dunia; ia juga berjaya memerangi keganasan Israel," kata seorang daripada pegawai kanan pergerakan itu di Gaza, Mahmud Zahar, di dalam laman web Hamas.

Hamas menang kecil dalam pilihan raya parlimen Palestin pada Januari 2006 tetapi tetap disenaraihitamkan sebagai 'organisasi pengganas' oleh Kesatuan Eropah (EU), Amerika serta Israel.

Stesen televisyen Hamas menyatakan jumlah penduduk yang berhimpun di Dataran Katiba di pusat bandar itu kepada ratusan ribu orang.

Pemimpin Hamas di Gaza, Ismail Haniya, dijangka memberi ucapan sempena perhimpunan itu yang dipercayai diadakan bagi menunjukkan kekuatan sokongan terhadap mereka kepada pesaing mereka iaitu pergerakan Fatah pimpinan Presiden yang berkuasa di Tebing Barat, Mahmud Abbas.

Haniya dijangka akan menetapkan pendirian Hamas dalam rundingan damai dengan Israel yang bermasalah selama enam bulan. Pergerakan itu menuduh Israel gagal memenuhi permintaan mereka iaitu mengurangkan sekatan yang melumpuhkan bantuan terhadap Gaza menyebabkan mereka enggan memenuhi rundingan damai itu.

"Tidak perlu lagi melanjutkan rundingan damai apabila musuh tidak lagi menghormati rundingan itu, malah terus mengepung Gaza," kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum. � AFP

http://www.bharian.com.my/

0 comments: