Wednesday, December 17, 2008

'Saya tidak campur tangan selepas serah tugas Mac'


Abdullah Ahmad Badawi melangkah keluar dari kafe Dewan Rakyat selepas minum petang dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional di Bangunan Parlimen, semalam.
- Gambar MOHD. NAIM AZIZ

http://www.utusan.com.my/utusan/

PUTRAJAYA 16 Dis. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berjanji tidak akan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan sebaik sahaja beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac depan.

''Saya tidak akan jadi macam itu," tegas Abdullah dalam pertemuan dengan Agendanews di kediamannya di sini hari ini ketika ditanya kemungkinan beliau akan memantau kerajaan selepas bersara nanti.

Pada masa sama, Presiden UMNO itu yang tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac ini dan akan diisi Najib yang diisytiharkan menang tanpa bertanding, tidak terfikir mengenai jawatan Menteri Kanan.

Ia tidak seperti mana Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong yang menyandang jawatan itu selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Singapura.

''Biaq pi kat depalah," kata Abdullah yang menggambarkan tidak pernah terlintas di fikirannya mengenai perkara itu.

Abdullah sebelum ini pernah menyatakan akan menyerahkan tugas-tugas Perdana Menteri kepada penggantinya beberapa hari selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO yang ditetapkan pada 24 hingga 28 Mac depan.

Menguatkan hujah itu, beliau pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 9 Disember lalu menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa akan berlaku perubahan dalam pelan peralihan kuasa yang dipersetujui dengan Najib pada Mac depan.

Sebaliknya, tegas beliau, semua perkara yang dipersetujui antara mereka berdua sebelum ini tidak akan berubah dan Abdullah akan berpegang kepada pelan berkenaan.

Justeru beliau meminta semua pihak agar tidak lagi menimbulkan sebarang persoalan atau khabar angin berhubung pelan peralihan kuasa itu.

Sementara itu, dalam pertemuan itu, Abdullah memberitahu bahawa beliau akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sehingga ke saat-saat akhir beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri menegaskan perkara itu sebagai peringatan bahawa beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya dan hanya duduk diam sahaja menjelang Mac depan sebelum melepaskan jawatan Perdana Menteri.

''Saya akan terus berada di sini sampai akhir," katanya.

Mengenai perkara yang mengecewakannya sepanjang menerajui kerajaan dan UMNO, Abdullah berkata, jika ada pun rasa kecewa terhadap ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) ialah sikap mereka yang terlalu diselubungi dengan persepsi negatif dalam usaha beliau melakukan perubahan sepanjang tempoh berkenaan.

''Mereka hanya melihat sesuatu pembaharuan itu daripada sudut negatif sahaja tanpa mahu memahami apa yang tersirat di sebalik hasrat," katanya merujuk kepada pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di Parlimen ketika ini.

0 comments: