Wednesday, December 17, 2008

Abhisit ketuai Kewangan

http://www.utusan.com.my/


ABHISIT menerima sejambak bunga daripada seorang wanita Islam yang menyokong beliau di ibu pejabat Parti Demokrat di Bangkok semalam. - AP


BANGKOK 16 Dis. - Perdana Menteri baru Thailand, Abhisit Vejjajiva akan mengetuai pasukan ekonomi dalam Kabinet, selaras dengan pendirian kerajaannya untuk memberi keutamaan kepada usaha merangsang ekonomi Thai yang tidak bermaya.

Setiausaha Agung Parti Demokrat, Suthep Tuagsuban hari ini memberitahu wartawan bahawa portfolio kewangan masih dibincangkan dan barisan Kabinet baru dijangka diumumkan pada akhir minggu ini.

"Abhisit akan mengetuai pasukan ekonomi kerana kerajaan ini memberi keutamaan kepada isu-isu ekonomi," kata Suthep.

Menurut beliau, kementerian-kementerian akan diagihkan antara Parti Demokrat dan wakil daripada parti-parti komponen yang telah membantu Abhisit dipilih sebagai Perdana Menteri dalam pengundian di Parlimen semalam.

Abhisit, 44, telah menyatakan bahawa beliau akan menyelia hal-ehwal ekonomi yang menjadi keutamaan setelah negara ini dilanda krisis politik selama berbulan-bulan.

Perdana Menteri itu enggan memberi keterangan lanjut mengenai jawatan Kabinet sehingga Raja Bhumibol Adulyadej berkenan melantik beliau secara rasmi sebagai Perdana Menteri Thai ke-27.

Lepasan Oxford itu hanya menyatakan kesediaannya untuk bekerja keras dan menunaikan kewajipannya.

"Saya masih belum biasa dengan orang memanggil saya Perdana Menteri," katanya berseloroh.

- AFP

0 comments: