Friday, December 19, 2008

Lelaki buat kecoh di Parlimen ditahan

KUALA LUMPUR: Keadaan di luar bangunan Parlimen, di sini, gempar seketika apabila berlaku kejadian tolak-menolak antara seorang penyokong kumpulan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan polis pagi semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku jam 11.50 pagi sejurus beberapa penyokong Jerit mengayuh basikal memasuki bangunan terbabit untuk menghantar memorandum kepada Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, keadaan tiba-tiba bertukar kecoh apabila berlakunya insiden tolak-menolak dan polis terpaksa menahan lelaki berusia 30-an terbabit kerana menimbulkan kekecohan serta mengganggu pihak berkuasa menjalankan tugas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mat, berkata keadaan bagaimanapun, berjaya dikawal sepenuhnya oleh puluhan anggota polis bertugas dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Lelaki berkenaan ditahan kerana cuba mengganggu tugas polis selain bertindak kasar terhadap anggota kami.

“Kita sedang menjalankan siasatan dan belum memutuskan untuk mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/

0 comments: