Friday, December 19, 2008

Korban pertama demam Chikungunya

Oleh Azrina Ahzan, Riadz Radzi dan Omar Osman
bhnews@bharian.com.my

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 46 tahun dari Kampung Perak, Bukit Selambau dekat sini, dipercayai menjadi korban pertama deman Chikungunya yang merebak sejak seminggu lalu.

Ismail Md Noor, meninggal dunia di rumahnya awal pagi semalam, dua hari selepas dibenarkan keluar daripada Hospital Sik (HS).

Isterinya, Siti Azizah Nayan, 49, berkata Ismail dimasukkan ke HS pada Ahad lalu selepas seminggu demam serta mengalami sakit sendi dan lemah seluruh badan. Sebelum itu, suaminya mendapat rawatan di klinik kesihatan berdekatan.

Beliau mendakwa ketika dibawa pulang ke rumah dua hari lalu, keadaan Ismail masih lemah serta tidak mampu berjalan, tetapi jururawat memberitahu suaminya sudah sembuh dan doktor membenarkannya keluar dari hospital.

"Keadaannya bertambah teruk awal pagi tadi (semalam) dan saya menyedari dia sudah tiada ketika hendak menukar lampin pakai buangnya kira-kira jam 7 pagi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Hasnah Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan mengenai kes itu dan siasatan akan dijalankan.

Di PUTRAJAYA, Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata sepanjang minggu lalu (7 hingga 13 Disember) sebanyak 158 kes Chikungunya dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 38 kes di Kelantan, Kedah (34), Perak (31), Johor (23), Selangor (18), Pahang (tujuh), Kuala Lumpur (tiga), Negeri Sembilan (dua) dan masing-masing satu kes di Perlis dan Melaka.

Dalam kenyataannya, Dr Hasan berkata kawasan terbabit mempunyai kadar pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi dengan tempat pembiakan utama ialah pasu bunga, tong sampah dan tin kosong.

"Kita juga mengeluarkan 294 kompaun bernilai RM32,550 sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Mengenai demam denggi, beliau berkata dua kematian dilaporkan sepanjang tempoh sama, iaitu masing-masing satu kes di Selangor dan Terengganu.

Katanya, kes terbaru itu menjadikan jumlah kematian akibat denggi di seluruh negara sehingga 13 Disember lalu meningkat kepada 100 kes, berbanding 96 tahun lalu.

Beliau berkata, lima negeri mencatat peningkatan kes denggi iaitu Wilayah Persekutuan Labuan (100 peratus), Perak (62 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (lapan peratus), Terengganu (lapan peratus) dan Kelantan (tiga peratus).

0 comments: