Monday, December 22, 2008

Berenang Sungai Golok selepas kena tembak


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim melawat Darus yang dirawat di Hospital Pasir Mas, semalam.

KOTA BHARU: Walaupun terkena tiga das tembakan dan terhumban ke dalam Sungai Golok, seorang peniaga Malaysia yang diserang tiga lelaki Thailand masih dapat menyelamatkan diri dengan berenang menyeberangi sungai itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di Kampung Munduk, Selatan Thailand itu, Darus Mohd Daud, 37, juga terpaksa merangkak menaiki tebing sungai berkenaan bagi meminta bantuan penduduk kampung.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata sebelum itu mangsa dibawa tiga lelaki itu ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

"Mangsa dipukul dan ditolak ke dalam Sungai Golok sebelum tiga lelaki itu melepaskan tujuh das tembakan dengan tiga daripadanya menembusi tubuh badannya," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Abd Rahim berkata, Darus menyelamatkan diri dengan berenang menyeberang sungai itu hingga ke Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang.

Katanya, mangsa merangkak menaiki tebing sungai itu sebelum meminta bantuan penduduk yang kemudian menghubungi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Mangsa dikejarkan ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk rawatan kecemasan sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini bagi mengeluarkan tiga butir peluru dalam badannya.

Abd Rahim berkata, pihaknya sudah menghubungi Polis Thailand bagi memaklumkan mengenai kejadian itu sebelum tindakan susulan diambil.

"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya kejadian itu bermotifkan urusan perniagaan," katanya.

Sementara itu, Darus yang tinggal di pekan Sungai Golok sejak beberapa tahun lalu kerana berkahwin dengan warga Thailand, ketika menceritakan detik cemas itu menyifatkan dirinya seperti mati hidup semula.

"Sebaik sampai ke tebing sungai dekat Kampung Jeram Perdah, saya merangkak naik tebing dalam keadaan gelap sambil menahan sakit," katanya.

0 comments: