Friday, December 19, 2008

Cubaan guling PM Iraq gagal

50 pegawai rancang rampas kuasa kerajaan Syiah kena tahan

BAGHDAD: Iraq menahan kira-kira 50 pegawai Kementerian Dalam Negeri yang didapati merancang rampasan kuasa terhadap kerajaan Syiah, kata seorang pegawai kanan keselamatan Iraq, semalam.

"Kira-kira 50 pegawai awam Kementerian Dalam Negeri, termasuk pegawai kanan, ditahan sejak tiga hari lalu kerana cubaan menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri, Nuri al-Maliki," kata pegawai berkenaan kepada AFP.

Antara mereka adalah Jeneral Ahmad Abul Rif, ketua keselamatan kementerian berkenaan, katanya.

"Mereka dikaitkan dengan Al-Awda (Pengembalian), sebuah kumpulan sulit yang berusaha untuk mengembalikan kuasa Parti Baath," katanya.

Pemimpin Iraq, Saddam Hussein dan Parti Baath disingkir ketika serangan yang diketuai Amerika Syarikat pada 2003 lalu.

Akhbar New York Times melaporkan seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri berkata, mereka yang ditahan kerana kaitan dengan Al-Awda dikatakan membayar sejumlah wang untuk menjadi ahli. Pegawai keselamatan menemui sejumlah wang dalam serbuan yang dilakukan.

Pengkritik Maliki menuduh Perdana Menteri itu mengambil tindakan menahan musuh politiknya bagi memperkukuhkan kuasanya menjelang pilihan raya wilayah bulan depan, kata akhbar berkenaan.

Maliki sendiri dikenakan tindakan oleh rejim Sunnah Saddam, tetapi lima tahun selepas serangan itu, ratusan ahli bekas Parti Baath mulai kembali kepada kehidupan awam di Iraq.

Awal tahun ini, Majlis Presiden Iraq meluluskan rang undang-undang membenarkan bekas ahli Parti Baath kembali bertugas dengan kerajaan dalam pentadbiran Syiah yang ada sekarang.

Langkah itu diambil bagi menyatukan beberapa puak yang ada dan usaha untuk membetulkan semula kesilapan yang dilakukan oleh Amerika selepas zaman Saddam.

Keputusan awal Amerika untuk membubarkan tentera Iraq dan memecat semua ahli Parti Baath daripada kerajaan bagi menghapuskan pengaruh Saddam menyebabkan kebangkitan penentangan antiAmerika selepas serangan ke atas negara berkenaan. - AP

0 comments: