Monday, July 14, 2008

Pemuda desak siswa IPT Pakatan dibenar dekati politik

http://malaysiakini.com/bm

Angkatan Muda PKR meminta negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat supaya membenarkan para pelajar mereka mendekati politik seperti kelulusan yang diberikan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pergerakan itu akan menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri Pakatan minggu ini, kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin apabila diminta mengulas gesaan persatuan-persatuan siswa minggu lepas.

"Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya membuka ruang kepada mahasiswa terlibat dalam politik di kampus," katanya.

Awal bulan ini, naib canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, dengan mendekati politik secara positif, penuntut akan terdedah kepada kemahiran berpidato, berhujah, berfikiran terbuka dan berani berhadapan dengan masyarakat.

Walaupun diberikan kebebasan itu, beliau dilaporkan yakin penuntut universitinya tidak akan melanggar AUKU.

"Setakat ini UniMAP bersih daripada sebarang rekod buruk sepanjang saya menjadi naib canselor selama enam tahun dan mereka faham hasrat universiti untuk melahirkan jurutera berkaliber dan serba boleh," Dr Kamarudin dipetik sebagai berkata.

Susulan itu, Jumaat lepas, persatuan-persatuan mahasiswa memberitahu Malaysiakini, mereka menyeru kerajaan di negeri Pakatan mengikut jejak langkah UniMAP.

PKR, DAP dan PAS - sebelum menguasai empat lagi negeri dalam pilihanraya umum Mac lalu - sering menyuarakan isu kebebasan bersuara di IPT, termasuk berkempen bagi memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Parti Mahasiswa Negara (PMN), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyokong sekiranya kerajaan Pakatan - misalnya Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Antarabangsa Islam Selangor (Kuis) yang dimiliki kerajaan negeri - membuat keputusan mengambil pendekatan yang sama dengan UniMAP.

Shamsul mengambil contoh pengamalan di negara-negara maju yang berbuat demikian dan membolehkan penuntut mereka mencapai "kematangan idea dan pemahaman tentang demokrasi".

"Di negara-negara maju seperti di United Kingdom, ada pemuda Parti Buruh, ada pemuda Parti Konservatif sebagai sayap Pemuda. Ada juga cawangan-cawangan parti politik di kampus. Pendedahan itu akan mematangkan idea dan pemahaman tentang demokrasi di kalangan mahasiswa," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun berpendapat, mahasiswa tidak harus melibatkan politik kepartian semata-mata tetapi "politik baru dan ilmiah".

"Bukan sahaja (terlibat dengan) politik kepartian, sebaliknya wacana politik ilmiah, politik baru - (keadaan) ini tidak berlalu di universiti.

"(Perdebatan) isu nasional seperti harga minyak, sepatutnya dianjurkan oleh mahasiswa, (sebaliknya) kena dibuat oleh Agendadaily.com.

"Ia menunjukkan mahasiswa sudah sekian lama ditakutkan"

Esok laman web berita itu akan menganjurkan debat berhubung isu kenaikan harga minyak antara ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Shabery Cheek dan dijangka disiarkan secara langsung di dua saluran televisyen.