Thursday, July 3, 2008

Elak terlibat ritual berbau syirik

http://www.utusan.com.my

Firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. (An-Nisaa’: 48).


Ayat ini memberi amaran keras kepada sesiapa yang cuba-cuba mensyirikkan Allah sama ada secara terang-terangan melalui perbuatan dan tindakan atau pun melalui percakapan.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, ZAIRI menemu bual Ketua Jabatan Usuluddin, Akademi Islam ( A.I) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), ABU ZAKI ISMAIL untuk mengupas isu ini.

MEGA: Apakah maksud syirik kepada Allah?


ABU ZAKI: Dalam bahasa Melayu, syirik bermaksud menyekutukan Allah. Dari perkataan syirik terbit kalimah syarikat iaitu perkongsian. Maka syirik juga bermaksud mengatakan Allah itu ada rakan kongsi atau ada yang setanding dengan-Nya.


Dari segi istilah, syirik bermaksud menyamakan Allah dengan sesuatu sama ada dari segi rububiah, uluhiah atau nama dan sifat.


Syirik dalam rububiah adalah menyamakan Allah dengan makhluk lain dari segi ciptaan atau kekuasaan-Nya. Syirik dalam uluhiah pula menunjukkan pengibadatan, kepatuhan, kecintaan dan amalan yang sepatutnya dilakukan kerana Allah kepada benda lain.


Yang ketiga, menyamakan Allah dari aspek nama dan sifat. Contohnya, apabila mengatakan ada makhluk lain yang sifat dan namanya sama dengan Allah. Inilah yang dikatakan syirik.


Dalam Islam, kita diwajibkan mempelajari usuluddin dan dikatakan awal agama itu mengenal Allah. Soalnya, mengapa ada golongan berpendidikan agama turut terlibat dalam kerja-kerja syirik?


ABU ZAKI: Soal iman atau tauhid kepada Allah adalah asas paling penting. Sebab itu, sebagai Muslim kita wajib mengetahui siapa Allah, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan hak Allah untuk disembah, ditaati dan dicintai.


Di dalam tauhid, konsep keesaan Allah tidak ada kompromi. Semua aspek sama ada uluhiah atau rububiah hanyalah untuk Allah. Tidak boleh ada perkara atau benda lain yang mengatasinya.


Sebab itu dalam sirah Rasulullah pun dapat kita lihat bagaimana usaha mengukuh dan memantapkan akidah itu berlangsung sekian lama iaitu 13 tahun sewaktu baginda di Mekah. Pada waktu itu hanya ibadat solat yang disyariatkan. Ibadat lain, datang selepas penghijrahan baginda ke Madinah.


Persoalan mengapa orang berpendidikan agama pun boleh syirik, ini kerana sebagai manusia kita sentiasa diuji oleh Allah. Walau setinggi mana pun seseorang menuntut ilmu agama, dia tidak akan terlepas daripada ujian Allah.


Ini ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, “Kami beriman” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). (al-Ankabut: 2)


Mari kita mengimbas kisah sirah seorang Abid Bani Israel yang kuat beribadat tetapi akhirnya mati dalam mensyirikkan Allah iaitu Barshisho.


Beliau adalah seorang yang kuat beribadat tetapi apabila diuji dengan iblis, beliau tewas. Iblis yang menyamar sebagai manusia menunjukkan dirinya lebih kuat beribadat berbanding Barshisho. Lalu Barshisho bertanya bagaimana dia dapat meningkatkan ibadatnya seperti itu.


Iblis memberitahu, untuk meningkatkan ibadat kamu perlu membuat dosa terlebih dahulu. Lalu iblis menawarkan Barshisho memilih antara berzina, membunuh atau minum arak.


Walaupun Barshisho memilih minum arak tetapi akhirnya akibat terpedaya dengan iblis, dia turut berzina dan membunuh wanita yang berzina dengannya.


Ujian dalam bentuk hasutan iblis itu tidak berhenti di situ. Sebaliknya sewaktu beliau hendak dihukum rejam kerana berzina, iblis turut berjaya memperdayakannya agar menyembah iblis agar dia dapat dilepaskan daripada hukuman tersebut.


Akhirnya selepas bersetuju menyembah iblis dengan menggunakan isyarat kelipan mata, dia pun dihukum rejam. Lalu matilah dia dalam keadaan syirik, nauzubillah.


Benarkah syirik ini terbahagi dua iaitu syirik jali dan khafi? Apa pula contoh-contohnya?


ABU ZAKI: Memang betul. Syirik jali ialah syirik yang nyata. Contohnya menyembah selain Allah seperti berhala, Nabi Isa, busut, pokok, manusia, dewa-dewa yang tidak nampak atau pun benda-benda yang dikatakan adalah perantaraan kepada Allah.


Syirik khafi pula ialah syirik yang tersembunyi. Para ulama menafsirkan syirik ini sebagai riak. Mengenai riak ini, Rasulullah bersabda, “Riak itu ibarat semut yang hitam, di atas batu yang hitam pada malam yang gelap gelita.”


Maksudnya, riak itu sukar dikesan secara zahir kerana ia melibatkan hati. Hanya tuan punya diri dan Allah yang tahu mengenainya.


Contohnya, melakukan ibadat, bersedekah dan berbuat baik dengan niat menunjuk-nunjuk kepada manusia atau supaya dikenali ramai.


Dalam banyak hal, umat Islam memang sedar bahawa perbuatan seperti menyembah berhala atau menyembah api itu haram. Bagaimana pula dengan mengambil bahagian dengan aktiviti seperti larian obor?


ABU ZAKI: Berhala dan api adalah unsur sembahan manusia apabila jauh terpesong daripada Islam. Sejarah berhala bermula pada zaman Nabi Nuh.


Pada asalnya, patung-patung dibuat untuk memperingati para ulama yang mewarisi ajaran nabi-nabi sebelum Nabi Nuh seperti Wadd, Yaguth, Suwa dan Nasr. Kemudiannya, patung-patung itu dihormati dan akhirnya, disembah.


Api pula mengikut sejarah adalah sembahan kaum Majusi di Parsi. Mereka melihat api boleh marak dan membesar, jadi ia dipuja. Ia juga ada kaitan dengan asal kejadian jin dan syaitan yang cemburu dan marah dengan pemilihan manusia sebagai khalifah. Lalu, mereka sentiasa cuba menggoda dan memperdaya supaya melanggar perintah Allah dan mensyirikkan-Nya.


Sebagai Muslim, kita perlu sedar yang kedua-dua perkara ini adalah unsur sembahan purba. Sebab itu Islam amat menjaga kedua-dua hal ini sehingga timbulnya larangan membuat patung kecuali patung mainan kanak-kanak.


Manusia yang terpesong mudah terpegun kepada binaan patung yang besar-besar. Sedangkan logiknya, patung dan api itu boleh dibuat atau dinyalakan oleh manusia. Mengagungkan kedua-dua benda ini menunjukkan kelemahan minda orang yang berkenaan.


Dalam bab larian obor ini pula ramai yang berkata ia hanyalah simbolik. Tetapi bila kita membaca sejarah Nabi Nuh, syirik menyembah berhala juga bermula dengan acara simbolik untuk mengenang jasa ulama.


Dalam hal ini, kita wajar melihat hadis Rasulullah yang bermaksud: ...tidak akan hilang malam dan siang (berlaku Kiamat) sehingga disembah kembali berhala Latta dan Uzza. (riwayat Muslim). Berhala Latta dan Uzza adalah antara berhala yang paling masyhur pada zaman Jahiliah di Tanah Arab. Ini bermakna sembahan berhala dan api akan berulang.


Sebagai alternatif, kita boleh menggantikan upacara yang sedemikian dengan majlis bacaan doa memohon kesejahteraan. Bagi para pahlawan yang gugur, kita boleh mendoakan supaya Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.


Allah menegaskan bahawa Dia akan mengampunkan dosa hambanya kecuali mereka yang syirik. Apakah falsafah di sebalik amaran keras ini?


ABU ZAKI: Orang yang mensyirikkan Allah bakal menghadapi tiga hukuman. Pertama, dosanya tidak akan diampunkan. Kedua, segala pahala amalannya pula akan dihapuskan. Ketiga, mereka kekal diazab dalam neraka.


Falsafah di sebalik hukuman keras ini ialah Allah tidak suka disamakan dengan benda lain. Allah sebagai pencipta, pemberi rezeki dan nikmat percuma kepada kita tidak layak disekutukan dengan apa perkara atau makhluk sekalipun.


Orang yang syirik ini tidak berterima kasih sebaliknya mengundang kemurkaan Allah. Maka sebab itu layaklah mereka diazab.


Analoginya, seorang anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan susah payah oleh ibu bapanya wajib berterima kasih kepada keduda-duanya. Andainya apabila dewasa, anak ini menganggap ibu bapanya sama sahaja dengan orang lain. Sudah tentu, perbuatan iniamat menyakitkan mereka dan mengundang kemarahan ibu bapanya.