Friday, November 23, 2007

RampasBudu


Rampas budu
Oleh Helmy Abd Rahman
Harian Metro-23 November 2007

KELANA JAYA: Niat seorang bakal haji dari Pantai Timur untuk menikmati budu buatan sendiri di Tanah Suci, terbantut apabila juadah pembuka selera yang dibawanya itu dirampas dalam pemeriksaan ketika jemaah berkenaan melapor diri di Kompleks Tabung Haji, di sini, sebelum berangkat ke Madinah, semalam.

Ketua Bilik Gerakan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Mohd Fauzi Samsuri, berkata budu berkenaan antara bahan larangan yang terpaksa dirampas berikutan syarat baru dikeluarkan syarikat penerbangan yang melarang penumpang membawa bersama bahan berbentuk cecair atau gel melebihi 100 miligram (mg) dalam beg sandang.

Katanya, masih ramai jemaah haji ingkar dengan arahan berkenaan kerana tidak mendapat maklumat atau kurang faham garis panduan dikeluarkan.

"Pihak kami terpaksa mengambil tindakan berkenaan kerana jemaah tidak dibenarkan membawa bersama bahan seperti itu dalam beg yang diangkut mereka. Sejak hari pertama hingga kini, ada saja barangan yang dirampas setiap hari dan hampir keseluruhannya membabitkan barang keperluan dalam bentuk cecair atau gel.


"Sebenarnya, bahan seperti ubat gigi, syampu, ubat kumur, minyak dan sebagainya boleh diisi dalam beg besar, tetapi mungkin ramai tidak tahu atau keliru dengan syarat itu dan membawa bersama dalam beg sandang," katanya, semalam.


Menurutnya, semua bahan dirampas disimpan sementara dalam bilik gerakan dan bilik stor khas di kompleks berkenaan.

"Buat masa ini, kami menyimpan barangan ini di bilik ini (bilik gerakan) dan stor khas dan jika ada waris ingin menuntutnya boleh datang ke sini," katanya.

0 comments: