Tuesday, November 27, 2007

MAHASISWA PERLU BANGKIT MENENTUKAN KEPIMPINAN NEGARA MELALUI PILIHAN RAYA UMUM

Pembubaran Parlimen diwar-warkan akan diadakan dalam tempoh terdekat. Ini memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dijangkakan akan berlangsung tidak lama lagi, iaitu pada bulan November 2007 tahun ini atau pada Mac 2008. Tidak kira pada bila masa sekalipun, mahasiswa seluruh negara, sama ada di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahupun Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu bangkit menunaikan kewajipan sebagai warganegara dan rakyat Malaysia dengan menentukan kepimpinan negara melalui PRU kali ini.

Mahasiswa perlu bijak memilih pemimpin yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara pada masa depan, kerana padah memilih salah pemimpin bakal mengundang ketidakadilan, penindasan dan kezaliman kepada rakyat, seterusnya membawa negara menuju kehancuran. Mahasiswa seharusnya menilai sendiri kepimpinan negara selama ini supaya mahasiswa tidak hanya menjadi 'pak turut' setelah disogok dengan segala bentuk kemewahan material, akan tetapi mahasiswa perlu memilih pemimpin atas kesedaran untuk mengambalikan keadilan dan kemakmuran yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

Sebagai contoh, Malaysia mendesak Myanmar membebaskan pejuang demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi yang ditahan oleh pemerintahan junta militer Myanmar di bawah tahanan rumahnya, untuk menunjukkan bahawa Malaysia berusaha menganjurkan demokrasi di negara tersebut. Namun, adakah demokrasi di Malaysia sendiri sudah tertegak sepenuhnya? kezaliman dalam negara Malaysia masih terus berlaku, malah semakin hari bertambah serius. Buktinya, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA) masih terus diguna pakai dalam sistem pemerintahan negara. ISA mengandungi peruntukan untuk mengekalkan status quo puak pemerintah, malah dalam Seksyen 16 peruntukan ISA, Menteri dan pihak yang berkaitan dengannya tidak boleh diminta mendedahkan bukti atau maklumat bagi mempertahankan keputusannya membuat sesuatu penahanan. Selain itu, para tahanan tidak akan didakwa di mahkamah terbuka dan melalui peruntukan di bawah seksyen ini pula, Menteri tidak boleh mendedahkan bukti mengapa seseorang tahanan itu ditahan. Jelas di sini bahawa telah berlaku penyalahgunaan kuasa ( Power Abuse) dalam menahan seseorang TAPOL (Tahanan Politik). Adakah keadaan ini wajar terjadi di sebuah negara demokrasi seperti Malaysia?

Selain itu, mahasiswa juga perlu membuka mata terhadap isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang sudah berada di luar kawalan. Terbaru pula, trend mencacak harga minyak mentah dunia tidak dapat dipertahankan lagi oleh kerajaan. Kenaikan harga petrol dan bahan api pula dijangka berlipat kali ganda. Adakah mahasiswa selaku rakyat dan warganegara Malaysia tidak merasai keperitan ini, atau setidak-tidaknya merasai kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa kita di kampung-kampung, mencari sesuap nasi dengan menoreh batang getah saban hari yang tak tentu cuacanya?

Oleh itu, saya selaku Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), menyeru dan menggesa mahasiswa agar bangkit menentukan kepimpinan negara dalam PRU yang akan diadakan tidak lama lagi. Sedarlah bahawa insan-insan lain yang tertindas begitu berharap agar kita menjadi pembela bagi nasib mereka. Bukalah mata terhadap segala peristiwa yang berlaku di dalam negara dan celikkan minda dengan mengkaji serta menilai pemerintahan sedia ada demi menentukan sebuah pemerintahan negara pada masa depan.
Sekian.


Mohd Dzulkhairi Bin Mohd Noor,
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS),
Sesi 2007 / 2008

http://mygamis.blogspot.com

1 comments:

Hanief said...

Sememangnya kita dapat menjangkakan dengan mudah bahawa PRU (Pilihanraya Umum ke 12) akan dilangsungkan sekitar bukan Mac 2008.

Pelbagai masalah yang harus ditanggung oleh parti yang memerintah sekarang. Dari kes mahkamah sehinggalah ke kes gangguan bekalan barangan harian.

Namun yang memusykilkan saya ialah, bilakah had waktu terakhir bagi perlangsungan pilihanraya umum ke 12 ini?

Apakah ianya pada tahun 2009? Jika ya, Pak Lah mungkin akan menganjakkan perlangsungan pilihanraya umum ke 12 ini pada awal tahun 2009. Ini bagi menstabilkan ke semua elemen teras pembangunan rakyat. Seperti ekonomi dan keselamatan.

Sebarang persiapan sesebuah parti politik untuk menghadapi pilihanraya perlu disusun dengan rapi serta tepat pada waktunya, bagi mengelakkan pembaziran kos-kos pembayaran sponsor dan para pekerja.