Duit dibalas tubuh
harian metro 22 nov 2007
SAYA pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Umur saya 20 tahun dan kini berdepan masalah yang tidak mampu saya hadapi dan ia semakin menekan perasaan.
Apabila tidak tahan, saya menjerit sekuat hati, tak pun saya menangis. Masalah saya berpunca daripada perkenalan saya dengan seorang lelaki. Biar saya namakan dia sebagai M.
Sebenarnya saya tidak suka dia, tapi saya hanya berpura-pura suka kerana dia selalu memberi saya duit. Saya pula membalasnya dengan tubuh saya.
Selepas kejadian itu, saya nekad meninggalkan dia dan menjalin hubungan dengan lelaki lain. Dia menerima semua itu dengan hati terbuka.
Selepas putus dengan M, saya berkawan dengan lelaki bernama A. Dia terlalu mengambil berat mengenai saya. Saya ada menceritakan yang saya pernah tidur dengan lelaki lain. A pun teringin juga. Saya pun apa lagi.
Selepas saya tinggalkan A, hadir pula seorang askar sebagai teman lelaki saya. Dengan diapun saya buat (seks). Selepas itu saya kenal pula lelaki bernama I. Saya ceritakan apa yang berlaku pada saya dan dia pun buat juga dengan saya.
Dia kemudian berjanji untuk bertanggungjawab di atas apa berlaku, tetapi sekarang dia menyepikan diri tanpa berita.
Kini, saya berkenalan pula dengan lelaki bernama R. Saya beranikan diri untuk cerita dengan dia apa yang berlaku pada diri saya dan saya tanya dia: “Awak pun nak buat juga ke?”
R menjawab, dia memang mahu tapi bukan sekarang, sebaliknya apabila kami sudah berkahwin. Dang Setia, apa perlu saya lakukan? Saya tidak berdaya lagi. Emak dan ayah tidak tahu apa yang berlaku pada saya. Yang tahu hanya kakak saya.
Lagi satu Dang Setia, saya tak pernah menyintai mereka yang saya kenal. Entahlah, hati saya sebenarnya masih untuk insan yang tiada lagi di dunia ini.
Apabila mereka yang saya kenal bertanya: “Sayang tak kat saya?” Saya jawab: “Memang saya sayang.” Apa perlu saya lakukan demi menjaga nama baik emak dan ayah? Saya tidak mahu mereka tahu apa yang saya lakukan kerana saya tidak mahu hati mereka terguris. Saya tidak mahu mereka menangis kerana saya.
INSAN SEDIH
Shah Alam, Selangor
Sedih dan kecewa Dang Setia apabila seorang siswi IPTA yang dianggap bijak pandai, dipandang tinggi oleh masyarakat dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan, jauh terpesong dengan menjalani kehidupan sumbang dan penuh noda.
Maaf jika bahasa Dang Setia kasar dan leteran ini menjengkelkan saudari, namun Dang Setia berasa perlu untuk membangkitkan hal ini kerana teramat kecewa dengan masalah sosial di kalangan remaja sekarang, termasuk pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi.
Pertama sekali, Dang Setia wajib menasihatkan saudari supaya bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah di atas segala keterlanjuran saudari. Saudari orang bijak pandai dan ada akal yang cerdas dikurniakan Allah.
Gunakan akal itu sepenuhnya. Bukan saja ketika belajar dan mengambil periksa kita perlu menggunakan akal, tapi kita juga perlu berfikir panjang dalam membentuk perlakuan dan menjalin apa juga hubungan sesama manusia.
Kita kena berfikir bahawa hidup kita di dunia hanya sementara, semua yang kita buat, sama ada baik atau jahat, ada balasannya oleh Allah dan jika kita ingkar perintah Allah, azab yang bakal menimpa kita sangat perit.
Hanya dengan cara itu kita mampu menjaga perlakuan dan tidak mengikut hawa nafsu.
Tidak keterlaluan jika Dang Setia katakan, saudari bertindak hanya berpandukan nafsu dan bukan akal.
Sebab itu saudari seolah-olah tidak kisah untuk berzina bersilih ganti dengan beberapa lelaki dan begitu mudah mengucapkan kata sayang tanpa ada perasaan.
Dang Setia berpendapat, saudari jadi begitu kerana jiwa kosong. Sebenarnya, masalah jiwa atau rohani sebenarnya turut berkaitan dengan amal ibadat kita sebagai seorang Islam.
Jika tidak menunaikan solat, tidak membaca al-Quran, tidak berzikir dan tidak berpuasa, jiwa atau rohani kita akan sakit kerana semua amalan itu perlu untuk menyihatkan jiwa.
Jiwa yang sakit mudah dipengaruhi nafsu dan tunduk kepada godaan syaitan. Hanya jiwa yang sihat berkat amal ibadat berterusan mampu menundukkan nafsu serta menepis godaan syaitan.
Oleh itu, rawat dan bersihkan jiwa saudari dengan beramal dan seterusnya bertaubat kepada Allah.
Insya-Allah jika saudari berusaha menghampiri Allah, Allah akan membantu saudari menempuhi kehidupan akan datang, termasuk memelihara nama baik ibu bapa tercinta.
emel
Thursday, November 22, 2007
Duit dibalas tubuh
Posted by
SyahiranMuhd
at
12:49 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment