IPTS Bumiputera tetap hebat
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaiza@hmetro.com.my 20 nov 07
Promosi bekas pelajar penting
PENCAPAIAN Malaysia sebagai satu hab pendidikan serantau sudah diakui melalui kewujudan pelbagai institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.
Kepesatan itu menyumbang kepada pembangunan institusi pendidikan sekali gus membuka peluang kepada pelbagai pihak berdaya saing untuk memberikan transformasi ilmu terbaik.
Dalam menyahut cabaran itu, institusi yang diterajui Bumiputera juga tidak melepaskan peluang menyumbang persaingan sihat dengan institusi lain demi memartabatkan ilmu dan memperkukuhkan nama negara di persada dunia.
Ini sekali gus memperlihatkan kemampuan institusi pendidikan Bumiputera setara institusi pendidikan tempatan mahupun antarabangsa.
Presiden dan Naib Canselor Management and Science University (MSU), Profesor Datuk Mohd Shukri Ab Yajid, berkata dalam usaha memartabatkan ilmu, tidak perlu menggunakan perbezaan kaum, bangsa mahupun latar belakang untuk membentuk kejayaan.
Menurutnya, sama ada institusi berkenaan ditunjangi Bumiputera atau tidak, ia bukan persoalan kerana setiap institusi mempunyai matlamat masing-masing dalam menerajui institusi pendidikan.
“Bagaikan tidak relevan bila wujud tanggapan negatif mengenai kemampuan institusi pendidikan apabila diterajui Bumiputera. Sewajarnya, ia harus dikikis kerana bertentangan dengan matlamat memperkukuhkan konsep ilmu dalam era globalisasi.
“Janganlah kemampuan sesebuah institusi itu dinilai dengan melihat satu aspek semata-mata tapi perlu secara menyeluruh kerana tanggapan salah boleh ‘membunuh’ hasrat memartabatkan ilmu,” katanya.
Isu pengusaha institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Bumiputera terpaksa gulung tikar pernah menjadi topik hangat dan dibincangkan di Dewan Negara hingga memaksa pelbagai pihak mencari jalan mengatasinya.
Antaranya, penggabungan IPTS Bumiputera bagi berkongsi pengalaman dan kemudahan untuk memperkembangkan institusi pendidikan selain saranan membetulkan prinsip pengurusan.
Mengulas kejayaan MSU sebagai sebuah IPTS Bumiputera unggul walaupun usianya masih baru, Profesor Mohd Shukri berkata, penekanan utama adalah kualiti dalam segala aspek.
Menurutnya, tanpa kualiti sukar memperoleh kepercayaan dan sokongan masyarakat kerana penilaian selalunya dibuat berdasarkan tahap pencapaian sesuatu institusi.
“Sejak ditubuhkan, bermula sebagai sebuah kolej, kemudian kolej universiti dan kini universiti penuh, MSU sentiasa memberikan mutu terbaik dalam semua aspek termasuk tenaga pengajar, program dan pelajar.
“Ia penting bukan saja bagi meraih kepercayaan tapi demi menepis persepsi negatif masyarakat. Jika tiada kualiti, bagaimana mahu menguar-uarkan kemampuan institusi,” katanya.
Tanggapan segelintir pihak mengenai kurangnya kemampuan IPTS Bumiputera bersaing dengan IPTS lain juga perlu dikikis kerana sudah tidak boleh diguna pakai berikutan masyarakat hari ini sudah bijak memilih dan membuat keputusan.
“Mungkin jika dibandingkan dua dekad lalu, tanggapan itu benar kerana kemudahan sedia ada terhad manakala permintaan juga tidak meningkat seperti hari ini.
“Bagaimanapun kini, sudah banyak bantuan diberikan kepada semua IPTS tanpa mengira sama ada ia milik Bumiputera atau tidak, sebab itu tanggapan berkenaan tidak boleh diguna pakai kerana sudah jauh meleset.
“Masyarakat hari ini juga sudah bijak memilih, penyebaran maklumat mengenai sesebuah IPTS sangat meluas. Saya percaya, sudah tidak ada pertikaian antara satu IPTS dengan yang lain sebaliknya masing-masing akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengakui kepentingan promosi untuk memperkenalkan sesebuah IPTS namun tetap menegaskan, ia tetap tidak akan berjaya tanpa sokongan beberapa aspek penting.
“Seperti di MSU, kami sangat mementingkan kualiti dalam pelbagai aspek dan itu juga salah satu elemen kecemerlangan dan pengukuhan nama di kalangan masyarakat.
“Buatlah pelbagai promosi, namun jika tidak mampu memberikan yang terbaik, masyarakat tidak akan percaya.
“Saya mengakui promosi juga perlu namun mesti ada sesuatu yang mampu diberikan sebagai imbalan, kalau tidak memang tidak akan berjaya,” katanya yang turut mengakui, promosi daripada pelajar yang sudah berjaya banyak membantu.
“MSU percaya, pelajar adalah antara tulang belakang penting dalam sesebuah institusi, promosi yang dilakukan mereka juga sangat membantu.
“Tidak dinafikan, pengukuhan nama MSU adalah atas bantuan pelajar yang sudah berjaya dan MSU juga sentiasa berterima kasih atas sokongan mereka.
“Pada masa sama, jika wujud masalah MSU akan tetap memberi perhatian serius kerana percaya teguran bertujuan membina dan memperbaiki kelemahan,” katanya.
Mengenai persaingan antara IPTS, beliau berkata ia sesuatu yang baik dalam usaha menyemarakkan pengembangan ilmu di negara ini.
“MSU tidak pernah meletakkan persaingan sebagai topik utama, sebaliknya menganggap kewujudan pelbagai institusi sama ada milik Bumiputera atau tidak sebagai perkembangan sihat.
“Saya percaya tujuan utama semua institusi adalah untuk membantu pengembangan ilmu dan menjadikan masyarakat lebih baik, jadi mengapa mesti memandang dari sudut negatif?
“Sebenarnya tiada istilah persaingan dalam menuntut ilmu kerana matlamatnya sudah jelas. Perkembangan itu harus dilihat dalam skop luas, bukan sebaliknya,” kata Profesor Mohd Shukri.
Pengarah sebuah institusi di ibu kota, Adam Govindasamy, berkata kejayaan sesebuah IPTS bukan terletak pada status namun penawaran bermutu yang mampu diberikan.
Menurutnya, aspek disiplin, pengurusan, permintaan majikan dan peluang kerjaya cerah pada masa depan adalah antara elemen yang perlu diberi penekanan utama.
“Elemen itu penting bagi membina kepercayaan masyarakat dan pelajar. Itu juga satu resipi untuk bertahan lama tanpa mengira taraf sesebuah institusi.
“Bayangkan, kalau serba serbinya bermasalah, berbaloikah menyambung pengajian di situ? Sebagai sebuah institusi, reputasi perlu dijaga, bukan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
“Dalam soal pendidikan, semua pelajar berhak memperoleh kualiti pendidikan terbaik. IPTS Bumiputera juga mampu menawarkannya, jadi tiada sebab mempertikaikan kemampuan itu. Yang penting, menyediakan program berdaya saing dan sentiasa memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.
“Semua IPTS sebenarnya mampu melengkapi peranan institusi pendidikan dan kemahiran awam bagi membantu kerajaan membangunkan modal insan diperlukan bagi kemajuan serta pembangunan rakyat pada masa depan,” katanya.
emel
Thursday, November 22, 2007
IPTS Bumiputera tetap hebat
Posted by
SyahiranMuhd
at
12:59 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment