Friday, November 23, 2007

Palestin, Israel sukar sepakat


Palestin, Israel sukar sepakat

Berita harian - 23 November 2007

BAITULMAQDIS: Israel dan Palestin terbukti masih berbalah dan jauh daripada mampu menghasilkan deklarasi bersama yang diharap dapat dikemukakan pada rundingan damai tajaan Amerika Syarikat di Annapolis, Washington, Selasa depan.

Pendirian berbeza itu jelas ketara menerusi deraf yang disiarkan media Yahudi, semalam.

Malah, ini kali pertama deraf dokumen yang diharapkan menjadi asas rundingan akhir yang dijangka dapat dihidupkan semula menerusi persidangan di Amerika berkenaan, dihebahkan kepada orang ramai.


“Mesyuarat masih berterusan sehingga hari ini tetapi tiada sebarang persetujuan dicapai kerana wujud perbezaan yang besar,” kata Ketua Perunding Palestin, Saeb Erakat .

“Rundingan itu mungkin diteruskan sebelum pertemuan di Annapolis,” katanya yang membangkitkan kemungkinan rundingan di Annapolis bakal berakhir tanpa deklarasi, tetapi dua kenyataan berasingan.

Deklarasi lima muka surat didedahkan akhbar Haaretz itu, jelas memaparkan bukti perbezaan pendirian, termasuk rujukan kepada perkembangan usaha itu sendiri.


Palestin mahukannya dikenali sebagai dokumen bersama, manakala Israel lebih berminat menggelarnya ‘kenyataan bersama.’

Palestin mahu melancarkan rundingan dengan cara baik bagi memastikan ia dapat berakhir sebagai perjanjian dalam masa lapan bulan selepas tamat mesyuarat di Annapolis tetapi tidak lewat daripada tempoh akhir penggal pemerintahan Presiden George W Bush.

“Israel sebaliknya, mahukan persetujuan yang tidak terikat dengan tempoh akhir.”Rejim Zionis itu juga mahukan kenyataan penting ‘Israel adalah tanah air penduduk Yahudi dan Palestin bagi penduduk Palestin, dimasukkan.

Pihak Palestin sebaliknya menetapkan syarat ‘pembentukan dua negara sebagai penyelesaian.’ - AFP

0 comments: