Thursday, November 22, 2007

Ketagih ‘gas ketawa'

Ketagih ‘gas ketawa'
Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Azizi Mohd Sunip
Harian Metro 20 November 2007

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila segelintir remaja dikesan menggunakan ubat penyembur otot yang biasanya digunakan atlit ketika mengalami kekejangan, untuk berkhayal dan melepaskan gian.

Ubat penyembur otot atau digelar ‘gas ketawa’ di kalangan remaja itu membuatkan penghidunya ketawa tanpa henti beberapa minit sebelum fikiran menjadi kosong dan khayal.

Malah, dalam beberapa kejadian, ada remaja yang khayal selepas menghidu bahan terbabit berubah perangai dan menangis teresak-esak apabila terlebih dos.

Difahamkan, ubat penyembur otot mudah didapati di kedai ubat dan farmasi dengan harga hanya RM17 untuk sebotol kandungan 100 mililiter (ml).


Harian Metro difahamkan, ubat penyembur otot kebanyakan dihidu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) kononnya untuk menghilangkan tekanan ketika belajar.
Ubat penyembur otot terbabit dikenali sebagai ‘Ethylchlorid Spray.’

Difahamkan, golongan berkenaan menyembur terlebih dulu cecair dalam botol pada sehelai kain atau tuala kecil sebelum menghidu bau yang dikatakan boleh mengkhayalkan.

Menurut seorang remaja yang juga penagih ubat kejang otot, dia serta beberapa rakan kolejnya sering menghidu ubat terbabit jika menghadapi tekanan, lebih-lebih lagi ketika menjelang peperiksaan.

Dia yang enggan dikenali berkata, ubat berkenaan diperkenalkan seorang rakan yang juga pelajar di kolejnya beberapa bulan lalu.

“Ubat ini mudah didapati. Kami hanya membelinya di pasar raya atau farmasi dan tiada siapa mengesyaki ia boleh menyebabkan ketagihan dan membuatkan kami khayal.

“Selalunya, kami akan menghidu ubat berkenaan bersama rakan yang juga kaki lentok,” katanya.

Menurutnya, sebotol ubat terbabit hanya mampu bertahan tidak sampai sejam jika dihidu beramai-ramai.

Ketika ditanya pengalamannya ketika menghidu ubat terbabit, remaja itu mendakwa kesan khayal daripada ubat itu sama dengan menghidu gam.

Katanya, ‘gas ketawa’ boleh menyebabkan individu yang mengambilnya ketawa terlebih dulu selama beberapa minit sebelum mengalami kesan khayal.

“Namun, pernah terjadi seorang rakan yang mempunyai masalah peribadi menangis teresak-esak ketika menceritakan masalahnya kepada kami selepas menghidu ubat terbabit.

“Ketika itu dia terlebih dahulu menghidu ubat berkenaan yang mungkin menyebabkan fikirannya tidak dapat dikawal lagi,” katanya.

Difahamkan, mereka yang pernah menghidunya akan ketagih dan resah jika tidak dapat menghidunya.

Ubat penyembur otot itu diimport dari Jerman berdasarkan tulisan pada botol dan turut mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun disalahgunakan remaja untuk tujuan khayal.

0 comments: