Tuesday, November 27, 2007

Hindraf! Ingkar arahan mahkamah


Ingkar arahan mahkamah
Oleh Hadzlihady Hassan dan Siti Norsoleha Azmi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Penyokong kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) bukan saja mengingkari perintah mahkamah yang melarang mereka mengadakan perhimpunan, malah turut menyebabkan kecederaan kepada anggota polis dan merosakkan harta benda awam, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, seorang anggota dari Balai Polis Selayang terpaksa menerima tujuh jahitan di kepala akibat dilontar dengan batu oleh penyokong kumpulan itu yang berkumpul di Batu Caves.

Malah, penyokong kumpulan terbabit dikatakan membakar sebuah motosikal dan memecahkan cermin kenderaan milik orang awam di kawasan itu.

Selepas itu, penyokong kumpulan terbabit yang lain berkumpul di Jalan Ampang berhampiran kompleks beli-belah Plaza City Square menimbulkan kekecohan.


Mereka yang berkumpul sejak jam 5 pagi diarah bersurai oleh polis, namun berdegil menyebabkan pasukan keselamatan itu terpaksa menyembur air apabila amaran yang dikeluarkan tidak diendahkan.


Apabila melihat penyokong kumpulan terbabit meneruskan perhimpunan haram mereka jam 10 pagi, polis terpaksa menyembur gas pemedih mata dan air bagi menyuraikan mereka yang ketika itu berarak menuju ke Suruhanjaya Tinggi British.

Selepas bersurai seketika, mereka kembali berkumpul kira-kira sejam kemudian hingga menyebabkan empat anggota polis yang bertugas mengawal keadaan di Jalan Ampang mengalami kecederaan.

Empat anggota polis itu masing-masing dari Balai Polis Dang Wangi dan Sentul dilontar batu oleh penyokong kumpulan terbabit.

Anggota dari Balai Polis Dang Wangi iaitu Sub Inspektor Chew Choon Peng cedera di kepala dan menerima 11 jahitan manakala Lans Koperal Razali Redzuan turut menerima beberapa jahitan di muka.

Seorang anggota dari Balai Polis Sentul, Sarjan Mejar Harjit Singh Kishan Singh cedera di kaki kiri.

Rakannya pula, Inspektor Abd Hamid Omar hanya cedera ringan.

Segelintir daripada penyokong kumpulan Hindraf turut membaling batu ke arah jentera bomba yang lalu di situ, mengakibatkan cerminnya pecah.

Penyokong kumpulan terbabit bukan saja mencederakan anggota polis, malah mengeluarkan kata-kata kesat dan merosakkan kemudahan awam hingga menimbulkan ketakutan orang ramai.

Tindakan mereka turut menyebabkan beberapa kedai di Jalan Ampang terpaksa ditutup kerana bimbang perbuatan sebilangan penyokong kumpulan itu.

Namun, kira-kira jam 2 petang, keadaan kembali tenang dan jalan dibuka secara berperingkat kepada orang ramai selepas kumpulan perhimpunan terbabit bersurai.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah melarang lima pemimpin Hindraf dan penyokong mereka daripada menganjurkan atau menyertai perhimpunan semalam di ibu kota.

Kelima-lima mereka ialah P Uthayakumar, adik lelakinya Waythamoorthy, M Manoharan, V S Ganapathi Rao dan R Kengadharan.

Polis tidak memberikan kebenaran bagi mengadakan perhimpunan itu kerana bimbangkan keselamatan awam.

Uthayakumar, Waythamoorthy dan Ganapathi turut didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat lalu mengikut Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan ketika berucap dalam satu perhimpunan di Batang Berjuntai, Kuala Selangor, pada 16 November lalu.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda maksimum RM5,000.

0 comments: