Isnin 7 April 2008 | 30 Rabi'ul Awal 1429 Hijrah
Susasana masyarakat pada zaman Jahiliah begitu muram dan suram, kerana ia diselubungi pelbagai bentuk kedurjanaan akibat tindakan manusia yang cenderung kepada kejahatan.
Orang berkuasa melakukan pelbagai penyelewengan, kezaliman, penindasan dan bermacam-macam lagi yang boleh disifatkan sebagai ketidak-perikemanusiaan.
Perkara ini berlaku kerana manusia pada ketika itu telah hilang punca sebenar kebenaran. Golongan wanita dianggap alat tunggangan lelaki. Mereka tidak ada tempat dalam masyarakat, malah tiada nilai sedikit pun pada sisi orang lelaki.
Anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup kerana mereka dianggap pembawa sial kepada ibu bapa.
Penyembahan berhala serta patung-patung hasil ciptaan tangan manusia mendapat tempat di hati masyarakat pada masa itu. Pokoknya kehidupan mereka jauh daripada suasana damai, aman, tenang dan meyakinkan.
Justeru, bagi menyelamatkan mereka daripada terus bergelumang dan tenggelam dengan amalan-amalan yang songsang lagi syirik di sisi Allah SWT, maka Allah tidak terus membiarkan hamba-hamba-Nya sedemikian rupa.
Maka diutusnya Rasul terakhir bagi menyelamatkan pegangan dan akidah mereka supaya hati mereka lurus hanya untuk Allah SWT.
Allah menjelaskan menerusi ayat 9 surah as-Sof, maksudnya: "Dia (Allah) telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa hidayah dan agama yang benar (Islam), agar ia dapat mengalahkan agama-agama yang ada seluruhnya, walaupun tindakan itu dibenci oleh orang-orang kafir."
Jelas ayat di atas menunjukkan, bahawa Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk membawa agama Islam ke bumi bagi menyelamatkan manusia seluruhnya daripada terus berada dalam kesyirikan kepada Allah.
Kenapa Makkah jadi pilihan?
Menurut ulama Sirah, Allah memilih Makkah kerana ia betul-betul berada di tengah bola dunia (globe). Ia memudahkan proses penyampaian agama Islam ke seluruh dunia, kerana dari Makkah mempunyai jalan mudah untuk sampai ke Eropah Timur melalui Syria, Turki dan seterusnya Bulgaria.
Di sebelah barat pula melalui Mesir, Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi untuk ke Sepanyol dan negara-negara Afrika, sementara melalui Yaman pula adalah laluan untuk menuju ke negara-negara Asia melalui jalan laut.
Demikianlah hikmah Allah SWT memilih Makkah, di kalangan bangsa Arab untuk tujuan penyebaran Islam, selain penentangan Bani Israil terhadap Nabi-nabi mereka.
Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah untuk menyelamatkan manusia sesuai dengan sifat namanya Islam iaitu penyelamat.
Ia adalah untuk menyelamatkan manusia sejagat daripada melakukan kezaliman, penindasan dan pelbagai tindakan kedurjanaan, agar mereka berlaku adil, sopan, bermaruah walaupun ia tidak disukai oleh golongan yang menentang Allah.
Suasana seumpama ini akan terus berlangsung sampai ke hari kiamat selagi mana manusia masih tidak tunduk kepada Tuhan mereka yang benar iaitu Allah SWT. - lanh