Sejak 12 tahun lalu, dia juga melalui perubahan fasa kehidupan yang amat ketara. Lebih selesa berjubah dan bertudung jauh daripada perhatian masyarakat. Jika dulu hidup dan pakaiannya penuh warna-warni tetapi sekarang hanya jubah hitam membalut diri.
Sungguhpun tidak lagi berada dalam arus perdana dunia seni, Noor Kumalasari, 52, masih semesra dulu.
Noor Kumalasari adalah refleksi ibu dan kakaknya, Datin Umi Kalsom serta Anita Sawarak. Dia mewarisi perwatakan mereka berdua. Suara dan keramahannya berkongsi kisah hidupnya saling tidak tumpah seperti Anita Sarawak. Apabila mula berbual tiada titik henti.
"Saya sekarang menjadi pengurus rumah tangga, menjaga anak dan suami serta beribadah kepada Allah. Tambahan kini suami (Wan Mohd Yusof, 57) sudah bersara. Selepas hantar anak ke sekolah, kami berenang dan menghadiri kuliah di surau atau di masjid berhampiran rumah.
"Berbanding dulu, kehidupan saya sekarang sangat relaks dan bahagia. Ketika glamor dulu hati tidak tenteram memikirkan banyak perkara. Persembahan berjaya dan peminat gembira tetapi saya masih terasa ada kekurangan dan pantas berfikir apa yang perlu dibuat dan ditambah pada persembahan berikutnya. Sehingga jam 4, 5 pagi saya tidak boleh tidur.
"Sekarang saya berasa lebih tenang. Tetapi saya tidak pernah menyesal dengan apa yang dilalui pada zaman muda kerana Allah Maha Mengetahui. Meskipun dulu saya jarang solat tetapi saya selalu berdoa kepada Allah mengurniakan kebaikan kepada saya.
"Saya bersyukur teramat sangat kerana Allah panjangkan usia saya dan sempat bertaubat," katanya ketika ditemui pada pelancaran program baru Astro, baru-baru ini.
Sudah lama tidak melihat Noor Kumalasari muncul di kaca televisyen. Bagaimanapun kerinduan itu pasti terubat apabila dia sudi muncul dalam program Cerita Artis Malaysia (CAM) terbitan FM Production untuk siaran Astro.
"Memang ada tawaran tetapi saya pilih program yang saya suka dan berkaitan remaja hari ini. Saya bukan ustazah untuk memberi ceramah tetapi saya mahu menyeru ke arah kebaikan dengan cara lebih santai.
Thursday, April 3, 2008
Noor kini lebih tenteram
Posted by
SyahiranMuhd
at
12:18 PM