Sunday, April 6, 2008

Krisis akhlak pelajar IPT tuntut komitmen baru


Bharian 5 April 2008 Sabtu
Oleh Mohd Hilmi Ramli

FENOMENA Sufiah Yusof, pelajar pintar dari Universiti Oxford yang dikatakan tergelincir akhlaknya sebenarnya sudah lama menjalar di kalangan pelajar di kampus negara ini. Sesetengah mereka cemerlang dan baik ketika di sekolah, namun tewas ketika di universiti. Ada yang bertukar watak dan perangai hingga merisaukan ibu bapa di kampung.

Ada yang beranggapan universiti sebagai jalur sempadan memisahkan keperluan mendalami bidang akademik dan agama. Bagi mereka ilmu fardu ain berhenti setakat zaman sekolah dan di universiti mula belajar ilmu fardu kifayah.

Ilmu berkaitan akidah, fiqah dan akhlak sudah belajar ketika zaman sekolah, maka zaman kampus harus tumpukan subjek akademik universiti saja. Dengan merangkul segulung ijazah, mereka menggunakannya untuk mencari wang dan pekerjaan.

Dalam buku Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Sempurna, tulisan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud ada mengungkapkan bab yang penting iaitu Peranan Pendidikan Islam di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Bagi Prof Wan Mohd Nor, peringkat universiti cukup genting untuk menyusun dan memantapkan kefahaman Islam seseorang. Jika ketika peringkat tertinggi ini tidak diberi perhatian, ramai akan kecundang akibat arus deras kejutan budaya dan faham sekularisme yang masih menebal dalam disiplin akademik universiti.

Akibatnya sudah boleh diperhatikan di sekeliling kita, apabila ramai menjadi mangsa 'kekejaman' zaman universiti yang tidak mengenal mangsa. Putaran 'kejam' ini bertambah garang tatkala semakin ramai pelajar kehilangan pedoman diri.


Seharusnya jika individu belajar agama di sekolah menengah, sentiasa menjaga solat dan berakhlak baik, ia boleh berkekalan sehingga ke peringkat universiti dan sampai bila-bila.

Namun, iman manusia tidak ada jaminan boleh kekal tanpa sikap istiqamah dalam agama. Untuk mengekalkan iman dalam diri, ia memerlukan ilmu dan sistem yang kemas.

Kerana itulah Prof Wan Mohd Nor membuktikan bahawa Baginda Rasulullah SAW benar-benar diberi amanah menyampaikan wahyu ketika peringkat umur dewasa iaitu 40 tahun.

Ini mesej yang signifikan bahawa konteks umur yang matang sudah bersedia menerima amanah agama itu. Dalam konteks pengajian di universiti, seharusnya ada satu sistem berterusan membina keperibadian pelajar berdasarkan agama.

Apa yang ada hari ini ialah, universiti semacam melepaskan tangan dalam aspek pendidikan agama.

Seharusnya Kementerian Pengajian Tinggi menyusun dengan kemas proses pendidikan Islam yang sesuai dengan usia warga kampus. Kemungkinan setiap universiti mempunyai cara dan kaedah berbeza, namun semestinya setiap universiti mempunyai hala tuju yang sama dalam pendidikan Islam.

Ini cabaran kementerian berkenaan hari ini kerana universiti bukan sekadar pusat ilmu yang berdiri kerana bangunan fizikal yang cantik dan besar, sebaliknya pemain utama universiti ialah pelajarnya dan sistem pendidikan yang kemas untuk pelajar.

Isu kemerosotan akhlak memang ada kaitannya dengan kurangnya susunan sistem pendidikan Islam yang kemas kepada pelajarnya. Selain kursus pengajian Islam yang ditawarkan, pelajar akan menghadap 90 peratus pengajiannya tanpa elemen tambahan pendidikan Islam yang kemas.

Mereka akan menghadiri secara sukarela kuliah di masjid dan mana-mana ilmu untuk mendapatkan ilmu agama. Ini juga bukan bermakna semua pelajar pengajian Islam bebas daripada masalah moral, namun ia masih minimum dan jika ada pun bukan faktor pendidikan Islam itu, tetapi faktor peribadi yang bermasalah.

Perkara asas yang menjadi jalur minimum untuk dijadikan teras ialah supaya pelajar mempunyai pandangan alam yang Islami. Ini adalah subjek yang umum dan menjadi kerangka asas dalam memahami agama.

Ia ramuan ilmu tauhid, fikah dan akhlak yang diadun supaya membentuk kerangka memahami agama.

Untuk mewujudkan keghairahan pembentukan sistem pendidikan Islam yang kemas dan berkualiti, ia memerlukan komitmen budaya ilmu dan berjiwa besar. Jika universiti sendiri mengambil sikap tertutup dan antiilmu, maka agak sukar untuk merealisasikan impian ini.

Sebenarnya faktor kemerosotan akhlak dan miskinnya komitmen untuk mendirikan sistem pendidikan Islam yang kemas, berkait rapat dengan ranking universiti pada peringkat antarabangsa.

Badan Pemikir Nasional Mengenai Pendidikan (National Brains Trust on Education) berkata, Malaysia perlu menubuhkan beberapa pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan untuk melahirkan tenaga kerja kelas dunia bagi menghadapi cabaran globalisasi.

Prof Wan Mohd Nor juga berkata, kecemerlangan pada peringkat IPT bergantung kepada beberapa faktor utama berkaitan, iaitu:

l Kecemerlangan bergantung kepada kualiti ilmiah dan akhlak serta kewibawaan pimpinan tertinggi daripada peringkat Rektor/Naib Canselor, profesor, dekan, sehinggalah kepada pensyarah.

l Kemudahan penyelidikan yang tercermin pada khazanah perpustakaan, kemudahan ICT dan dana penyelidikan dan pembangunan.

l Iklim dan budaya ilmu yang tinggi.

l Pelajar yang layak dan gigih.

l Ganjaran ekonomi yang setimpal dengan pengorbanan dan kelayakan ahli akademik, pentadbir dan pelajar.

l Sokongan dan kepercayaan kerajaan secara berterusan terhadap kecemerlangan keilmuan jangka panjang dan jangka pendek.

Kesimpulannya, kementerian berkenaan harus serius mendirikan komitmen baru dengan menyusun sistem pendidikan Islam yang kemas pada peringkat universiti. Jika program seperti Biro Tatanegara (BTN) boleh diagendakan sebagai indoktrinasi mental pelajar, maka pendidikan Islam semestinya wajib dilaksanakan.

Malah, proses ini memerlukan komitmen budaya ilmu secara menyeluruh supaya agenda mendidik generasi terpelajar ini daripada menjadi korban 'putaran kejam' sistem universiti dapat diselamatkan. Budaya ilmu lahir jika ada komitmen tinggi daripada pemerintah dan kementerian. Pendekatan top-down sangat relevan dalam konteks ini.

Kementerian juga boleh manfaatkan institusi agama untuk mengadakan latihan kefahaman Islam kepada pemimpin atasan universiti dan pemimpin pelajar kampus.

Latihan intensif ini mensasarkan kefahaman akan pandangan alam yang Islamik. Institusi agama ini seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan institut pemikir yang tiada kepentingan politik boleh dimanfaatkan.

INTI PATI

# Jika pendidikan agama tidak diberi perhatian ramai akan kecundang akibat arus deras kejutan budaya dan faham sekularisme yang masih menebal dalam disiplin akademik universiti.

# Tiada jaminan keimanan yang kukuh ketika di sekolah akan kekal hingga ke universiti tanpa sikap istiqamah dan pembelajaran yang berterusan.

# Universiti perlu memperkemas sistem pendidikan Islam sesuai usia penuntut sebagai benteng mempertahankan moral dan akhlak warga kampus.

# Kementerian dan universiti perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyusun sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan graduan berpendidikan dunia dan akhirat.

Penulis ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)