Saturday, April 5, 2008

Iran pertingkat keupayaan aktiviti nuklear


http://www.utusan.com.my/-5.4.08

VIENNA 4 April - Iran sudah mula memasang emparan termaju di kompleks pengayaan uranium utamanya selain meningkatkan aktiviti yang membolehkannya membuat bom atom pada masa depan.

Tahun lalu, Iran melancarkan 3,000 emparan yang menjadi asas kepada pengayaan skala industri di loji bawah tanahnya di Natanz.

Seorang diplomat Barat memberitahu, selepas terhenti beberapa bulan, Iran kini memasang lebih 300 emparan yang dibahagikan kepada dua lata (penghubung antara jaringan) bagi membolehkan ia dikembang kepada lebih 3,000 emparan.

Emparan merupakan tiub yang berputar pada kelajuan supersonik bagi mengurai uranium sehingga ke tahap sesuai untuk kegunaan loji tenaga atau bom.

"Satu daripada lata tersebut merupakan model terbaru sementara sebuah lagi agak lama. Terdapat banyak mesin dalam lata yang terbaru berbanding set tipikal 164 emparan.

"Iran mungkin tidak mempunyai lata termaju yang mencukupi tetapi mereka mahu menunjukkan kepada dunia mereka boleh melepasi 3,000 emparan yang sedia ada di Natanz," kata seorang lagi diplomat.

Para penganalisis percaya, Iran secara perlahan menggantikan emparan P-1 dengan "generasi baru" yang dibangunkan dari model P-2.

Model P-2 diperoleh melalui pasaran gelap di Barat dan mampu mengempar uranium sebanyak dua hingga tiga kali lebih cepat berbanding model lama.

Duta Iran di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memberitahu, beliau tidak tahu perkembangan terbaru di kompleks pengayaan Natanz.

IAEA yang bertanggungjawab membuat pemeriksaan di Natanz enggan mengulas.

Seorang diplomat kanan pula tidak mempertikai pendedahan tersebut tetapi berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan Iran sudah memperoleh emparan terbaru yang lebih produktif.

Diplomat terbabit juga menyatakan, Iran berjaya melakukan pemeriksaan kawalan kualiti di emparan termaju yang dipasang dan sudah bersedia memuatkan gas uranium bagi tujuan pengayaan sistem nuklearnya itu.

- Reuters