Saturday, April 5, 2008

KEPUTUSAN JAWATANKUASA SYARIAH

1. TUJUAN.

1.1. Kertas ini akan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perak mengenai kedudukan ajaran Islam Jamaah mengikut hukum syara’.

2. LATAR BELAKANG.

2.1. Jawatankuasa Syariah Negeri Perak telah bermesyuarat pada 26 Safar 1423 bersamaan 9 Mei 2002 telah membincang meneliti dan membahas perkara berkenaan berdasarkan laporan yang disediakan oleh Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak .

2.2 Pada tarikh 6 Mac 2002 pihak Jabatan Imigresen telah menahan 10 orang lelaki berbangsa Indonesia yang memegang kad pengenalan bersatus penduduk tetap Malaysia ( PR ). Kesemua saspek tersebut telah telah diserah dan ditahan semula oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat dengan ajaran yang meragukan.

2.3. Di dalam operasi awal yang dilakukan oleh pihak Jabatan Imigresen, sejumlah barang - barang kes telah dirampas seperti beberapa naskah al-Quran yang tidak mendapat kelulusan pihak Kerajaan Malaysia, beberapa kitab keagamaan, risalah - risalah keagamaan, borang penyaksian taubat nasuha dan risalah yang mengandungi syarat untuk mempelajari persilatan Asad .

2.4 Di dalam siasatan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak, salah seorang saspek yang bernama Encik Muchyar bin A Majid mengaku bahawa beliau pernah belajar di Pondok Kediri, Jawa Timur, iaitu tempat bermulanya ajaran ini di negara Indonesia.

2.5 Pada tarikh 7 Mac 2002 kesemua 10 orang saspek tersebut telah ditahan semula oleh pihak Polis DiRaja Malaysia ( PDRM ) kerana disyaki mengancam keselamatan negara. Hasil siasatan pihak Cawangan Khas PDRM merumuskan bahawa keseluruhan mereka yang ditangkap adalah merupakan pengikut ajaran Islam Jamaah di kawasan Ipoh di dalam negeri Perak.

2.6 Di dalam negeri Perak, dipercayai ajaran Islam Jamaah dikembangkan oleh pengikut-pengikutnya yang berbangsa Indonesia memegang kad pengenalan berstatus penduduk tetap Malaysia ( PR ) di sekitar kawasan Ipoh, Menglembu dan Simpang Pulai.

2.7 Ajaran ini mula diperkenalkan di Jawa Timur, Indonesia pada tahun 1941. Pengasas ajaran ini adalah Haji Nurhasan Al Ubaidah Lubis dan menggelarkan dirinya sebagai Amirul Mukminin.

3. TINDAKAN UNDANG-UNDANG KERAJAAN INDONESIA

3.1. Hakim Agung Indonesia, Soegih Arto telah mengharamkan kumpulan dan ajaran Islam Jamaah menerusi surat bil. KEP-089/DA 10/ 1971 bertarikh 20 Oktober 1971. Ini adalah kerana ajaran ini amat berbahaya dari segi aqidah dan syariah umat Islam serta boleh memecah belahkan masyarakat.

4. TINDAKAN UNDANG-UNDANG JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR DAN FATWA PENGHARAMAN AJARAN ISLAM JAMAAH.

4.1. Sepanjang tahun 1998, pihak Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) telah membuat dua tangkapan yang berkaitan dengan penyebaran ajaran ini. Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu mengajar tanpa tauliah.

4.2. Pada tarikh 19 Februari 1998, Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ Negeri Selangor ( Majlis Fatwa Negeri ) telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran dan amalan Islam Jamaah didapati menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

5. CIRI-CIRI AMALAN YANG MENYELEWENG DARIPADA ASAS AJARAN ISLAM

5.1. SUDUT AQIDAH.

( A ) Bai’ah.

Setiap pengikut beliau perlu berbai’ah dengan Haji Nurhasan atau wakilnya dan menyakini beliau sebagai Amirul Mukminin. Mereka harus patuh dan tunduk pada ketentuan guru.

( B ) Tidak Islam.

Menurut Haji Nurhasan bahawa mana-mana orang yang telah memasuki Islam Jamaah telah menjadi Islam yang sebenar manakala orang lain dianggap kafir.

( C ) Sumber Hukum.

Menurut ajaran Islam Jamaah, Amir ( Ketua ) adalah sumber hukum. Oleh itu, Amir akan menentukan segala-galanya ke atas pengikut seperti perkahwinan, perceraian dan sebagainya. Jika anak ingin berkahwin perlu mendapat izin Amir. Poligami adalah dilarang di kalangan pengikut Islam Jamaah.


5.2. SUDUT SYARIAH.

( A ) Kaedah Mempelajari Ilmu-Ilmu Islam.

Pengikut-pengikut ajaran Islam Jamaah diajarkan al Quran dan al Hadis secara manqul dari Haji Nurhasan tanpa dilengkapi ilmu sorof, nahwu, balaghah dan kitab-kitab tafsir. Mereka tidak menerima ilmu Feqah dan usul Feqah kerana selain al Quran dan al Hadis dianggap Bid’ah Dholalah. Hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak diterima, ini adalah kerana pengikut ajaran ini hanya menerima hadis secara silsilah guru iaitu Haji Nurhasan.

( B ) Najis Mughallazah Tidak Perlu Samak.

Ajaran kumpulan ini menjelaskan bahawa hanya bejana atau pinggan mangkuk yang dijilat anjing sahaja yang perlu disamak seperti yang disebut dalam hadis. Adapun selain dari itu sekiranya kita pegang anjing atau babi mahupun dalam keadaan basah tidak perlu disamak, kerana mereka menganggap ianya tidak najis.

( C ) Hanya Najis Manusia Dianggap Najis.

Mereka mentafsirkan bahawa najis manusia sahaja yang dianggap najis. Najis binatang tidak dikategorikan sebagai najis seperti tahi cicak. Cara-cara menyuci najis manusia hanya perlu buang najis tersebut, kemudian disiram. Sekiranya najis tersebut terkena lantai rumah atau tempat yang luas, tidak perlu mengalirkan air tersebut. Manakala najis binatang samada terkena pada tempat sembahyang atau pakaian tidak perlu disucikan, kerana ia tidak najis.



( D ) Tafsiran Air Dua Kolah Dan Musta’mal.

Mengikut tafsiran Islam Jamaah pada umumnya yang dimaksudkan air Dua Kolah itu tiada sukatan yang sebenarnya terpulang kepada seseorang itu untuk membuat sukatan, jika ia berpendapat sukatannya satu baldi maka itulah sukatan yang sebenarnya. Manakala tafsiran air Musta’mal pula ialah “ Air bertakung yang sudah bercampur najis manusia ” adapun air yang sudah digunakan atau air yang sudah digunakan atau air yang sudah bertukar warna seperti terkena air sabun atau sebagainya tidak dikira Musta’mal bahkan air itu suci dan menyucikan. Oleh yang demikian dalam tafsiran mereka air satu timba boleh digunakan untuk mengambil air sembahyang untuk beberapa orang dengan mencelupkan tangan ke dalam timba tersebut.

( E ) Sembelihan.

Mengenai sembelihan, kumpulan Islam jamaah telah menetapkan bahawa mana-mana binatang yang mati di dalam kawasan atau perkampungan orang-orang Islam ia tidak perlu disembelih dan halal dimakan. Tulang babi juga tidak haram atau najis kerana di dalam Al-Quran menyebut hanya daging babi sahaja. Alasan mereka berbuat demikian kerana ia makhluk ciptaan Allah.

( F ) Melakukan Solat Jumaat di rumah.

Mereka berpendapat bahawa solat Jumaat berjemaah di masjid itu hanyalah adat sahaja. Dengan alasan solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Di dalam Al-Quran ( Surah Al Jumuah ) menyebut kita hendaklah mengingati Allah dan tidak pula disuruh mendirikan solat Jumaat. Oleh itu, ada ketikanya mereka hanya membaca al Quran dan al Hadis untuk berzikir di rumah.



( G ) Menanggung Dan Membawa Al Quran Tanpa Berwuduk.

Mereka berbuat demikian dengan alasan bahawa tulisan ayat Al Quran adalah ciptaan manusia dan Al Quran sebenarnya terletak di Luh Mahfuz. Oleh itu mereka tidak menghormati Al Quran dan meletakkan di tempat yang tidak wajar seperti bersebelahan dengan tempat tidur kucing. Bahkan pengikut-pengikut ajaran ini juga menconteng dan menulis di dalan naskah kitab suci al Quran.



( H ) Menyebarkan Fahaman Khilafiah/ Furuiyah dalam Pengajaran Dan Amalan.

Antara amalan-amalan tersebut adalah seperti tidak membayar fidyah / tahlil untuk si mati. Begitu juga pembacaan talkin dan bacaan qunut dalam solat subuh. Semua perkara tersebut adalah amalan bid’ah dholalah dan mereka mengambil pendirian bahawa setiap bid’ah dholalah masuk api nereka. Mereka juga mengatakan bahawa, bersentuhan lelaki dan perempuan yang ajnabi tidak batal wuduk.

( I ) Dana / Sumbangan Harta

Terdapat 4 kategori infaq (membelanjakan harta) yang perlu dilaksanakan oleh setiap ahli ajaran Islam Jamaah iaitu :-

a. Infaq biasa - dibayar seminggu sekali sesudah solat jumaat

b. Infaq rutin - dibayar setiap bulan iaitu sebanyak 10% dari
pendapatan

c. Infaq - infaq kekayaan, iaitu semacam cukai kekayaan
Sabilillah yang ditentukan oleh amir.

d. Kifarah - Denda kerana melakukan kesalahan dikira mengikut
besar atau kecilnya kesalahan itu. Perlaksanaannya
ialah setelah orang itu mengaku bersalah dan bertaubat kepada Amirul Mukminin





( J ) Asnaf yang Berhak Menerima Zakat.

Mereka yang baru belajar Al Quran atau al Hadis dengan jamaah ini dianggap baru memeluk Islam. Oleh itu mereka berhak menerima zakat di atas asnaf muallaf walaupun ia seorang yang kaya.