Thursday, April 3, 2008

Fitna: Indonesia sekat akses YouTube

JAKARTA 2 April – Indonesia meminta penyedia perkhidmatan internet menyekat akses kepada laman web YouTube kerana menyiarkan filem Fitna terbitan ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders.

Indonesia telah mengharamkan penyiaran filem anti-Islam itu manakala penunjuk perasaan menuntut Wilders dihukum bunuh semasa protes di luar Kedutaan Belanda di sini minggu ini.

Hari ini sehelai bendera Belanda yang berkibar di luar konsulatnya di bandar Medan dibakar oleh penunjuk perasaan.

Menteri Penerangan Indonesia, Muhammad Nuh telah menulis surat kepada pengendali YouTube untuk memintanya agar jangan menyiarkan filem itu, kata Ketua Pengarah Kementerian itu bagi Teknologi Maklumat, Cahyana Ahmadjayadi hari ini.

“Usaha kami termasuk meminta penyedia perkhidmatan internet menyekat akses kepada YouTube.

“Mereka sudah mula melakukannya sekarang,” kata pegawai itu.

Bagaimanapun pengguna yang melanggan perkhidmatan Internet daripada syarikat telekomunikasi terbesar negara ini, PT Telekomunikasi Indonesia menyatakan mereka masih boleh mengakses YouTube.

Sementara itu Metro TV melaporkan berpuluh-puluh pelajar membakar tayar dan merempuh pintu pagar konsulat Belanda di Medan.

Tindakan mereka memaksa polis menghalang penunjuk perasaan itu daripada memasuki konsulat tersebut.

Penunjuk perasaan juga menjatuhkan papan tanda di konsulat itu dan seorang pegawai Kedutaan berkata, sehelai bendera Belanda diturunkan lalu dibakar.

“Ia hanya konsulat kehormat, kerana itu tidak ada kawalan keselamatan di sana,” kata pegawai tersebut.

Agensi berita Antara melaporkan, polis melepaskan dua tembakan amaran dan menahan 20 orang kerana disyaki merosakkan harta benda.

– Reuters-Utusan Online