Thursday, April 3, 2008

Anwar dijangka kepalai Pakatan Rakyat?




Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Apr 03, 08 | 8:27:59 am MYT

KUALA LUMPUR, 3 April (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam satu laporan KLpost.com dijangka akan menerajui Pakatan Rakyat yang dibentuk hasil gabungan KeADILan, PAS dan DAP dalam masa yang terdekat.

Laporan itu menyebut sumber sebagai berkaya, Anwar akan dilantik menjadi Pengerusi Pakatan Rakyat selepas dibenarkan memegang jawatan politik bermula 15 April ini.

Pemilihan Anwar berdasarkan ketokohan beliau selain daripada kedudukan beliau kini yang tidak memegang jawatan rasmi dalam mana-mana parti politik, kata sumber.

Kata laporan itu, ini bermakna Anwar tidak akan memimpin KeADILan yang diterajui Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebaliknya terus memimpin gabungan parti-parti yang membentuk Pakatan Rakyat.

Dr Wan Azizah akan terus menerajui KeADILan, begitu juga Presiden PAS Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, kata sumber.

Pemilihan Anwar juga diharap dalam meredakan kebimbangan utama ahli-ahli parti yang menyertai gabungan tersebut mengenai siapakah yang akan dipilih menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat.

Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan persetujuan ketiga-tiga parti itu membentuk Pakatan Rakyat, berkata ia bagi menggambarkan kerjasama ketiga-tiga parti itu terutama di lima negeri yang kini dikuasai mereka.

Dalan kenyataannya, Pakatan Rakyat berikrar untuk melindungi hak-hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan.

Berikutan itu, kata mereka, kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Dasar-dasar kerajaan-kerajaan negeri berkenaan akan dijalankan mengikut dasar-dasar yang dipersetujui Pakatan Rakyat," kata Anwar.

Menurutnya lagi, bagi mengukuhkan lagi kefahaman bersama mengenai dasar-dasar berkenaan, satu konvensyen wakil rakyat Pakatan Rakyat akan diadakan pada 27 April depan.

Bagi mengukuhkan struktur Pakatan Rakyat, sebuah Majlis Kepimpinan ditubuhkan, yang dianggotai pemimpin tiga parti berkenaan.

Di samping itu, kata kenyataan itu lagi, Urusetia Bersama, yang dianggotai tiga pemimpin dari setiap parti terbabit, turut ditubuhkan dengan tugas untuk membina asas dan rangka kerja Pakatan Rakyat untuk disahkan oleh Majlis Kepimpinan.

Sementara itu, Bernama pula melaporkan, PAS yakin mampu menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat yang melibatkan parti itu, DAP dan Parti Keadilan Rakyat, walaupun mereka mempunyai ideologi yang berbeza, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato' Ahmad Yaacob.

"Memang ideologi PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat tidak sama, tetapi kita yakin masih ada ruang yang mampu mewujudkan persefahaman bagi memastikan Pakatan Rakyat ini dapat dilaksanakan," katanya.

Ahmad berkata tidak timbul halangan untuk PAS mewujudkan kerajaan Islam walaupun Pakatan Rakyat itu turut dianggotai oleh parti bukan Islam.

"Tiada halangan untuk PAS wujudkan kerajaan Islam kerana Islam tidak akan mengabaikan mana-mana pihak, apa yang penting ialah kita saling memahami dan sekaligus menjadikan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional," katanya.