-Utusan.com.my
SAO PAULO 29 Mac – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang disoal siasat oleh pihak polis semalam membuat pengakuan bahawa dia telah membunuh 12 mangsa di selatan negara ini.
Jurucakap polis, Inspektor Enizaldo Jose Plentz memberitahu, remaja yang dirahsiakan identitinya kerana masih di bawah umur memberitahu, dia membunuh mangsa kerana membalas dendam atau ketika sedang marah.
Malah, katanya, dalam satu kes seorang mangsa telah dibunuh kerana mengadakan temu janji dengan kakak remaja itu.
“Polis mempunyai bukti kukuh membuktikan remaja itu membunuh sekurang-kurangnya enam mangsa dengan menembak kepala mereka, sebelum melepaskan tembakan ke seluruh tubuh mangsa,” kata Plentz.
Menurutnya, pihak berkuasa masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sama ada suspek turut membunuh enam lagi mangsa.
Remaja lelaki itu ditahan di rumahnya Rabu lalu ketika polis menyiasat pembunuhan seorang pemilik gudang berusia 39 tahun.
“Dia memberitahu kami yang dia menembak pemilik gudang itu kerana menamparnya selepas berlaku pertengkaran beberapa minit sebelum itu.
“Bagaimanapun, kami syak dia membunuh mangsa dalam satu cubaan rompak dan ketika disoal siasat, dia bercerita dalam nada penuh bangga.
“Cerita bagaimana dia membunuh kesemua mangsanya itu sangat menakutkan,’’ kata Plentz.
Remaja itu memberitahu dia hanya membunuh orang yang difikirkannya memang patut mati seperti lelaki yang hendak mengadakan janji temu dengan kakaknya, jelas Plentz.
Remaja itu kini ditahan di sebuah pusat tahanan juvenil untuk menjalani pemeriksaan psikologi dalam tempoh 45 hari.
– AP