KUALA TERENGGANU 29 Mac – Kesemua 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu termasuk ADUN Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh akan menghadiri upacara mengangkat sumpah Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar di Istana Maziah di sini esok.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid berkata, kehadiran kesemua ADUN BN ke upacara berkenaan adalah bagi menunjukkan mereka menerima keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengiktiraf Ahmad sebagai Menteri Besar yang baru.
Beliau memberitahu, kesemua ADUN mendapat jemputan daripada pihak istana untuk menghadiri majlis berkenaan.
‘‘Insya-Allah semua (ADUN) akan pergi. Kami semua menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui selepas menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke Terengganu dari ibu negara hari ini.
Kira-kira 10,000 rakyat Terengganu menyambut keberangkatan pulang Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini. Selain Rosol, turut berada di LTSM ialah kesemua ADUN BN yang lain kecuali Idris.
Kelmarin, mesyuarat MT yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperakui pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR).
Mengulas lanjut, Rosol berharap keputusan itu akan membolehkan ahli-ahli UMNO Terengganu kembali bersatu untuk kebaikan rakyat dan negeri ini selepas kemelut tersebut berakhir.
‘‘Keputusan ini menunjukkan Allah sudah membuka satu jalan dan ruang untuk kita semua kembali bersatu dan merapatkan barisan,” ujarnya.
Beliau menyifatkan kedudukan UMNO Terengganu berikutan kemelut yang berlaku ibarat ‘carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum semula’ iaitu kekuatan UMNO akan kembali utuh selepas ini.
Menurutnya, terdapat hikmah di sebalik kemelut itu termasuk sokongan padu yang ditunjukkan rakyat terhadap institusi raja.
‘‘Saya berasa bangga melihat sambutan rakyat Terengganu daripada pelbagai peringkat masyarakat terhadap keberangkatan pulang Tuanku Mizan dan ini adalah rahmat di sebalik kemelut yang berlaku,” katanya.