BANGI 30 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim tidak sepatutnya membuat kenyataan terbuka mengenai penubuhan suruhanjaya kehakiman kerana perkara itu belum dibincangkan di peringkat Kabinet.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai menteri, sudah sewajarnya Zaid mendapat panduan ketika mesyuarat Kabinet minggu lalu yang memutuskan supaya dibezakan antara pendapat peribadi dan pandangan rasmi.
Beliau bimbang imej dan maruah kerajaan akan terjejas sekiranya seseorang menteri terus-terusan membuat kenyataan peribadi berhubung perkara penting seperti itu tetapi kemudiannya Kabinet tidak bersetuju, yang akhirnya menyebabkan rakyat menuduh kerajaan berpatah balik.
‘‘Saya tidak hendak komen panjang, saya tak nak nanti (timbul) konflik, orang kata apa ini menteri Kabinet bercanggah.
‘‘Anggap pandangan saya ini sebagai Naib Presiden UMNO supaya hal-hal yang penting seperti ini elok dibincang dahulu dan jangan seolah-olah pandangan peribadi sudah jadi pandangan rasmi kerajaan,’’ ujarnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Antara Agensi MITI 2008 di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas kenyataan Zaid dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia semalam bahawa pelantikan pengganti Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad yang akan tamat tempohnya Oktober ini diharap dapat dilakukan melalui sebuah suruhanjaya.
Zaid berkata, langkah itu amat mustahak untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara apabila pelantikan hakim dapat dilakukan melalui satu proses yang lebih telus, ketat dan meyakinkan.
Muhyiddin menjelaskan, semasa mesyuarat lalu, Kabinet bersetuju pada prinsipnya perlu ada usaha dibuat untuk menyusun semula sistem kehakiman.
‘‘Bagaimana bentuk dan formatnya, ini perlu dibawa kepada Kabinet, jangan dibincang secara terbuka macam sudah ada keputusan, tidak elok begitu.
‘‘Macam sudah setuju hendak tubuhkan suruhanjaya kehakiman. Saya fikir belum ada perbincangan apa-apa lagi.
‘‘Eloklah bawa dahulu ke Kabinet, pasal ini isu besar, saya cuma komen setakat ini, nanti orang kata saya berbalah, tidak ada,’’ katanya.