Monday, March 24, 2008

Kebangkitan Parti Politik Islam Di Turki : Dari MNP ke AKP

Oleh Mohd Firdaus Mohd Hamsin

JK Biro Penerangan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Arus kebangkitan parti politik Islam di Turki bermula semenjak 1947, apabila kerajaan di bawah pimpinan Parti Republikan Rakyat Turki (CHP), mula melonggarkan kawalan ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam, yang telah dilaksanakan semenjak 1924. Ia termasuk memberi kebenaran untuk sekolah-sekolah agama dibuka semula serta memberikan kebebasan bersuara, yang bakal menjadi duri dalam daging kepada penganut fahaman sekular yang dipelopori oleh Kamal Attaturk.
Dasar ini dirangka bertujuan untuk mendapatkan sokongan di kalangan rakyat di kawasan pedalaman, yang rata-ratanya masih berpegang kuat dengan ajaran Islam serta tidak menyokong pemerintahan CHP, di samping sebagai tindak balas terhadap kempen parti-parti pembangkang yang mahukan kebebasan bersuara diterapkan di negara itu.


Meskipun begitu, dasar ini tidak dapat membantu CHP untuk memenangi pilihanraya umum negara itu pada 1950, yang menyaksikan kemenangan besar di capai oleh Parti Demokrat. Meskipun tetap komited untuk mengamalkan dasar sekular, ia tidak dapat memadamkan kebimbangan terutama sekali di kalangan golongan tentera, yang bertindak menggulingkan kerajaan Parti Demokrat pada rampasan kuasa 1960.

Ia berikutan daripada beberapa tindakan Parti Demokrat menggunakan imej Islam serta menjalin hubungan yang akrab dengan beberapa tokoh agama, sebagai usaha untuk menjalin sokongan di peringkat akar umbi. Situasi ini jelas tidak disenangi golongan tentera di Turki, yang menggangap diri mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan dasar sekular negara tersebut.

NECMETTIN ERBAKAN

Sebelum penubuhan Parti Refah (Parti Kebajikan) pada 1983, Necmettin Erbakan terlibat di dalam penubuhan dua parti politik berorientasikan Islam. Selepas parti pertamanya, Mili Nizam Partisi (MNP), diharamkan pada 1970, beliau telah menubuhkan MSP (Mili Selamet Partisi), yang berhasil membentuk kerajaan campuran dengan CHP, selepas pilihanraya umum Turki 1973.

Dalam pilihanraya tersebut, MSP mendapat sokongan yang meluas di kalangan golongan miskin, yang tertarik dengan keprihatinan yang diberikan oleh parti tersebut ke atas mereka. Kerajaan campuran ini hanya bertahan sehingga September1980, apabila ia digulingkan melalui satu lagi rampasan kuasa tentera. Rampasan kuasa tersebut telah menyaksikan Erbakan dipenjarakan atas tuduhan mencabar dasar sekular yang diamalkan oleh negara tersebut.

Penubuhan Parti Refah pada 19 Julai 1983, berlaku ketika kerajaan Turki di bawah pimpinan Perdana Menteri, Korkut Ozal, mengamalkan kebebasan berpolitik di negara tersebut. Seperti MNP dan MSP, Parti Refah telah menjalinkan hubungan yang rapat dengan tokoh-tokoh agama di samping menerapkan pendekatan mendampingi golongan miskin.

PARTI REFAH


Petanda awal kebangkitan Parti Refah kelihatan, apabila ia telah memenangi sebilangan besar kerusi dalam pilihanraya peringkat bandaran yang diadakan pada 1994. Ia disusuli dengan kejayaan parti tersebut memenangi 158 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum Turki 1995. Dengan jumlah kerusi yang diperolehi itu, Parti Refah berjaya membentuk kerajaan campuran bersama dengan Parti Haluan Benar (DYP), pimpinan Tansu Ciller, yang memperolehi 135 kerusi.

Sekaligus, Parti Refah menjadi parti politik berorientasikan Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan di Turki. Meskipun melaksanakan beberapa polisi seperti menggalakkan debat terbuka mengenai sekularisme, membenarkan pemakaian tudung di tempat-tempat awam serta menjalinkan hubungan rapat dengan tokoh-tokoh ulama’, namun kerajaan pimpinan Erbakan tidak sunyi daripada menghadapi kritikan.


Antara kritikan utama ialah tindakan kerajaan pimpinannya, menjalinkan kerjasama ketenteraan dengan Israel , yang dianggap bertentangan dengan pendirian yang diamalkan oleh Parti Refah sebelum ini. Keadaan ini berlaku berikutan kerjasama politik yang dijalinkan oleh Erbakan dan Ciller, yang memerlukan kedua-dua pihak untuk bertolak ansur.


Ia dapat dilihat dari pendekatan Ciller, yang dianggap bersikap terbuka terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Parti Refah. Bahkan, beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Islam merupakan sumber utama yang membentuk identiti rakyat Turki, justeru ia (Islam), tidak sepatutnya diketepikan daripada kehidupan rakyat Turki. Dengan mengambil kira latar belakang Ciller yang dianggap sebagai simbol wanita Turki moden, kenyataan ini jelas amat mengejutkan!

KEBANGKITAN AKP

Selepas Parti Refah diharamkan pada 16 Januari 1998, sebahagian besar dari bekas anggota parti tersebut telah mengasaskan Parti Fazilet, yang berjaya memperolehi 111 kerusi parlimen dalam pilihanraya 1999. Salah seorang dari ahli parlimen tersebut, Merve Kavakci, telah mencetuskan kontroversi kerana mengenakan tudung ketika menghadiri persidangan parlimen.


Ekoran daripada itu, Kavakci telah dilucutkan tarafnya selaku ahli parlimen kerana beliau memegang kewarganegaraan asing ketika bertanding. Namun kenyataan itu tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa penyingkiran Kavakci ini dilakukan atas dasar untuk memelihara institusi sekular negara tersebut. Ekoran daripada itu, Parti Fazilet telah diharamkan pada Jun 2001, atas tuduhan menjadi pelopor gerakan anti-sekular.


Parti Keadilan serta Pembangunan atau Adeletve Kolkima Partisi (AKP), telah diasaskan oleh Recep Tayyip Erdogan, yang juga merupakan bekas ahli parti Fazilet yang diharamkan. Dalam pilihanraya umum Turki yang diadakan pada November 2002, AKP telah mencipta sejarah selaku parti politik Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan tanpa sebarang kerjasama dengan parti politik lain.

Dalam pilihanraya tersebut, AKP telah memperolehi 363 kerusi daripada 550 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Selain daripada mendampingi golongan miskin, AKP turut mengatakan komitmennya untuk menjalankan dasar ekonomi terbuka untuk membolehkannya menjalin jaringan ekonomi di peringkat antarabangsa. Nyata dasar ini telah membuahkan hasil buat AKP, yang berjaya meluaskan sokongan parti tersebut di kalangan rakyat Turki, yang telah bosan berada di bawah kepimpinan beberapa kerajaan campuran yang tidak stabil sebelum ini.

http://www.abim.org.my/content/view/84/30/

0 comments: