Tuesday, June 17, 2008

Pelajar lepasan Maahad Tahfiz Sains jadi rebutan IPT

KOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) � Maahad Tahfiz Sains yang diwujudkan kerajaan negeri enam tahun lalu kini menjadi rebutan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) dengan menawarkan tempat untuk pelajar lepasan sekolah agama tersebut.

Lebih membanggakan lagi apabila difahamkan pelajar sulung yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini sudah diberi tawaran.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap ibu bapa menjadikan Maahad Tahfiz Sains dan Maahad Tahfiz al Quran yang dikendalikan di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) menjadi tempat untuk anak-anak belajar.

Image �Ini kerana sekolah berkenaan merupakan tempat untuk belajar al-Quran dan sains sebagai cabang ilmu yang diperlukan untuk manfaat manusia,� ujarnya selepas merasmikan majlis perletakan batu asas asrama kedua Maahad Muhammadi Lelaki dan Pelancaran Kelab TaHa Lembaga Tabung Haji, di sekolah berkenaan semalam.

Maahad Tahfiz Sains terletak di Tanah Merah, Tumpat dan Kok Lanas. Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah dilengkapi kemudahan pembelajaran yang lebih sempurna.

Manakala Maahad Tahfiz al Quran pula terdapat di Pulai Chondong, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berharap pelajar sekolah di bawah Yik dan Jabatan Pelajaran Negeri menabung dalam Tabung Haji bagi menyemaikan sikap suka menabung dan persediaan awal bagi menunai haji ke Makkah.

�Wang simpanan tersebut boleh digunakan untuk kepentingan lain apabila ia diperlukan. Saya juga salah seorang pendeposit dalam TaHa,� ujarnya.

Beliau juga berkata, Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan menjadi tumpuan utama masyarakat luar Kelantan menghantar anak-anak mereka belajar di sini.

Sementara itu, Menteri Besar menyumbang derma peribadinya sebanyak RM3,000 di mana RM2,000 daripadanya diniatkan untuk kedua ibu bapanya yang telah lama meninggal dunia.

Menurutnya beliau sengaja mendedahkan sumbangan berkenaan dengan niat supaya menjadi contoh kepada orang lain.

Beliau juga mengingatkan rakyat Kelantan tidak menyayangi harta kekayaan kerana manfaatnya besar di akhirat kelak sekiranya mengamalkan secara ikhlas.

�Jangan fikir wang hanya untuk dunia sahaja, sebaliknya ingat juga harta kekayaan dapat membantu kita di akhirat nanti melalui amalan menderma.

�Bila kita ingat soal akhirat, kita tidak fikir lagi tentang dunia seperti harga beras dan barangan keperluan lain pun mahal sekarang,� ujarnya. - mj _