Tuesday, June 17, 2008

Caj 3 peratus PTPTN dikurangkan

Masdar :http://pmium.org/

KOSMO
: PUTRAJAYA - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan bahawa caj tiga peratus bagi perkhidmatan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diturunkan bagi mengurangkan beban kepada peminjam, malah penurunan caj berkenaan dijangka mencecah sehingga 50 peratus.

Khaled memberitahu, pihaknya akan mengumumkan jumlah tersebut dalam masa dua minggu ini setelah ia dibentangkan ke Kabinet selepas kajian semula dilakukan terhadap kadar caj yang dikenakan itu.

"Saya memberi jaminan bahawa kadar caj tersebut akan berkurangan selepas kajian terperinci dijalankan sejak April lalu dan yang pasti, kadar baru tersebut tidak akan membebankan peminjam untuk membayar semula pinjaman.

"Tapi soal mengenai berapa banyak kadarnya, saya akan umumkan kemudian. Saya akan cuba bawa ia pada mesyuarat Kabinet minggu depan," katanya selepas melancarkan pelan transformasi kementerian di sini semalam.

Isu caj perkhidmatan PTPTN mula diperkatakan orang ramai dan persatuan-persatuan pelajar sejak setahun lalu kerana dianggap membebankan kepada graduan untuk membayar semula pinjaman selain didakwa pihak tertentu sebagai berunsur riba.

Ini kerana, penerima pinjaman pelajaran PTPTN dikenakan caj perkhidmatan tiga peratus bagi pinjaman itu dan mereka diperlukan membayar balik pinjaman bersama caj berkenaan enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Caj perkhidmatan itu dikenakan bertujuan menampung kos pengurusan, pentadbiran tabung serta sebagai sumber pendapatan PTPTN untuk memberi pinjaman kepada pelajar lain pada masa depan.

Hasrat untuk menurunkan kadar caj itu dibuat ekoran gesaan beberapa pihak yang mahukan supaya kadar tersebut dikurangkan atau dimansuhkan terus kerana ia membebankan kepada pelajar baru yang memasuki alam pekerjaan.

Bilangan peminjam PTPTN di seluruh negara ketika ini berjumlah 1.2 juta, manakala dana yang terkumpul pada masa ini ialah RM23 bilion.

PTPTN ditubuhkan di bawah Akta Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 1997. Perbadanan itu beroperasi sejak 1 November 1997.