Semua kerajaan yang ada di dunia ini adalah milik Allah kerana Dialah pencipta yang berkuasa ke atas sekalian makhluknya.
usteru, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta agar semua pihak khususnya pentadbir agar menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan terpenting dalam menjalankan sesuatu proses pembangunan
"Semua yang terjadi di atas dunia ini, sama ada projek dan usaha pembangunan telah tercatat pada kertas kerja Allah. Pernah suatu ketika dahulu, ada sesetengah pihak yang kurang yakin dengan kita (PAS) untuk menjalankan aktiviti pembangunan, tetapi hari ini kita buktikan ianya adalah tidak mustahil dengan izin Alah," ujarnya dalam satu Majlis Pecah Tanah Kompleks Pejabat Majlis Daerah Pasir Mas dan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas di Bandar Baru Pasir Mas, Lubuk Jong pagi tadi.
Jelasnya, proses kejuruteraan negeri adalah untuk memajukan Kelantan dengan berpegang kepada manifesto kerajaan negeri iaitu Itqan Mas'uliyyah' yang telah diperkenalkan kepada semua penjawat awam untuk memastikan segala yang dijalankan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah semata-mata.
"Selain itu, kita juga hendaklah mengendalikan segala masalah yang berkaitan dengan manusia ini dengan kembali kepada ajaran Islam kerana menjaga negeri ini adalah bererti menjaga manusia," katanya.
Nik Aziz yang juga merupakan calon Dun Cempaka menegaskan bahawa sejak PAS menerajui Kelantan, pelbagai perubahan telah dijalankan.
"Pada peringkat awal, kita telah meminta semua urusan kewangan perlu dipindahkan daripada menggunakan bank konvensional kepada bank Islam bagi mengelakkan bercampur dengan unsur riba yang dilarang oleh Allah," ujarnya.
"Tiada sebuah kerajaan di negara Asia yang melakukan tindakan sedemikian melainkan kerajaan negeri Kelantan," ujarnya lagi.
Tambahnya, apa jua yang telah diperintahkan oleh Allah tidak kira apa jua bentuk suruhan dan larangan adalah untuk kebaikan hambaNya, kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya itu.
"Ia adalah sebagai suatu usaha untuk mencapai keberkatan Allah khususnya bagi membangunkan negeri ini selari dengan kehendak Allah," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Wip Majlis Daerah Pasir Mas, Osman Zakaria menyatakan kos pembangunan projek tersebut menelan belanja RM14.8 juta bagi membina kawasan perumahan, rumah kedai, kafeteria, kompleks pejabat, surau, taman permainan dan sebagainya yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2012.
"Ia akan dilengkapi dengan kemudahan prasarana yang akan menjadi tarikan bagi industri pelancongan selain merupakan koridor pembangunan yang berupaya menaiktaraf sosioekonomi penduduk Pasir Mas," ujarnya.
Menjelaskan mengenai kedudukan projek tersebut, Pengarah Projek tersebut, Ir. Suharto Mohd Nasir menerangkan 80 peratus Fasal Pertama projek itu telah siap dengan 34 unit kedai dan 75 peratus daripadanya telah habis dijual.
"Ia bukanlah suatu projek bagi mencari keuntungan, kerana ia adalah untuk membantu membangunkan Pasir Mas oleh syarikat Taman Semasa Sdn. Bhd," katanya.
Turut hadir dalam masjlis tersebut ialah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Takiyuddin Hassan, Pengerusi Eksekutif Taman Semasa Sdn. Bhd, Dato' Albert Tan, calon PAS Parlimen Rantau Panjang serta Dun-dun sekitarnya, iaitu Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, calon PAS Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron, calon PAS Dun Meranti, Ustaz Nasurudin Daud, calon Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali, Calon PAS Dun Tendong, Ustaz Mohd Daud dan calon PAS Dun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad.
Pada majlis yang sama juga, Nik Aziz telah menandatangani plag tapak majlis pecah tanah projek serta menggali tanah sebagai simbolik kepada upacara perasmian majlis pecah tanah itu.harakahdaily.net
0 comments:
Post a Comment