Pemikiran di Barat melalui pelbagai peringkat bermula dengan zaman kegelapan (Dark Age) sebelum kurun ke-18M. Kemudian, muncul zaman pencerahan dan zaman kebangkitan Eropah Barat (Renaissance) yang banyak mempengaruhi tamadun kebendaan hari ini.
Zaman Kegelapan (Zaman Penguasaan Gereja)
Eropah pada kurun-kurun pertengahan hidup dalam iklim yang didominasi oleh kejahilan dan khurafat. Gereja menguasai segenap aspek kehidupan. Ia menjadi seperi kuasa negara dengan mahkamah tersendiri dan banyak penjara. Rakyat diwajibkan tunduk sepenuhnya kepada ‘orang-orang agama’. Mereka juga mereka-reka perantaraan dalam hubungan manusia dengan Tuhan. Hak mentafsir dan memahami teks kitab Bible dikhususkan untuk Pope dan ahli majlisnya. Individu lain di luar lingkungan gereja dilarang dari cuba mentafsir Bible atau berbincang tentangnya. Pengakuan terhadap dosa dan sijil pengampunan dijadikan ritual agama. Manusia tidak boleh berhubung dengan Tuhan melainkan dengan melalui paderi. Taubat tidak diterima kecuali setelah mereka duduk di atas kerusi pengakuan di hadapan paderi. Agama sudah berubah menjadi koleksi rahsia dan simbol yang hanya difahami oleh ‘orang agama’. Orang ramai perlu tunduk kepada mereka.secara buta. ‘Orang-orang agama’ ini berperanan menguruskan segala perkara termasuk taubat, istighfar dan lain-lain, dengan syarat mereka dibayar.
Selepas itu, gereja mengadaptasi pemikiran dan teori-teori dalam ilmu geografi, perubatan, biologi dan lain-lain. Mereka memberikan sedikit nilai kesucian sehingga ilmu-ilmu itu dianggap menjadi sebahagian dari agama Kristian sendiri. Sesiapa pun tidak boleh menyanggahinya. Orang yang membawa idea yang bercanggah dengan ajaran gereja dianggap kafir dan mulhid (atheis), wajib dihukum. Mereka mengadakan mahkamah yang menyiasat. Dalam tempoh 18 tahun (1481 – 1499M), institusi ini telah mensabitkan seramai 10,220 orang dengan hukuman bakar hidup-hidup. 6,860 orang pula dihukum gantung (bunuh). Manakala 97,023 disabitkan hukuman-hukuman lain. Antara mereka Galelio Galelie (mengatakan bumi berputar), Newton (memperkenalkan konsep graviti), Copernicus, Bhotrus Albano, Giordano Braund (dibakar dan abunya ditabur di angin) dan lain-lain.
Ini adalah gambaran kecil tentang keadaan mereka secara umum dan gambaran gerakan pemikiran secara khusus di Eropah. Kebanyakan maklumat benar tentang sains disembunyikan dalam dada kerana takut kepada kebengisan gereja.
Dalam keadaan seperti inilah berlakunya peperangan Salib antara kaum Muslimin dan bangsa Eropah. Ia berlaku sepanjang kurun ke-11 dan 12 Masihi. Dalam suasana inilah, golongan Salib terpengaruh dengan umat Islam dan mereka melihat sifat Islam dan keindahan pemikiran Islam dari dekat. Ia meliputi pelbaghai bidang ilmu dan seni di Andalus, utara Afrika dan lain-lain. Di sinilah terdapat banyak sekolah dan universiti di setiap tempat dalam negara umat Islam. Institusi ini dikunjungi oleh para penuntut ilmu termasuk dari kalangan bangsa Eropah sendiri. Mereka datang belajar dari para ilmuan Islam dan setengah karya-karya diterjemah ke bahasa Eropah.
Selepas itu, peperangan Salib mula membuahkan hasilnya dalam pemikiran Eropah. Martin Lurther (1438-1546) membangkitkan gerakan reformasi dengan kempen pemisahan dari kuasa gereja. Beliau memrangi ajaran gereja yang dilabelkan sbegai ajaran syaitan. Sijil keampunan dianggap sebagai satu bentuk penghinaan dan perhambaan yang perlu dihentikan. Beliau diikuti oleh Calvin (1509-1564) dengan alioran yang sama. Gerakan ini telah mengubah banyak konsep dan aliran fikiran di Eropah. Namun ia masih menjadikan Bible sebagai sumber dalam urusan berkaitan dengan kepercayaan.
Zaman Pencerahan
Keadaan itu berterusan sehingga bahagian kedua kurun ke-18 yang dikenali sebagai Zaman Pencerahan dalam sejarah falsafah Eropah. Bentuk pemikiran yang berbeza pada zaman ini adalah “dominasi akal sebagai sumber pengetahuan tanpa yang lain” (lain bermaksud agama iaitu Kristian). Zaman pencerahan bermaksud zaman bermulanya kempen menjauhkan agama dari urusan kehidupan dan meletakkan akal di tempat agama tadi. Juga bermaksud menundukkan agama kepada akal dan memberi hak kepada akal untuk mengkritik agama. Seterusnya masyarakat dibimbing oleh para filosof aliran ini secara individu dan kumpulan. Antara mereka adalah John Locke (di England).
Pada penghujung kurun ke-18M, bermulalah zaman positivisma dan dominasi aliran tabi’i. Falsafah kurun ini cenderung ke arah dominasi aliran tabi’i mengatasi agama dan akal sekaligus. Realiti dianggap sebagai sumber pengetahuan yang benar berbanding agama dan akal. Agama dan wahyu hanyalah khayalan dan penipuan. Akal pula lahir dari alam tabi’i yang menjelma dalam pewarisan, persekitaran dan kehidupan ekonomi. Inilah titik mula aliran positivisma Kant, falsafah Hagel dan Marxisma Karl.
Serangan Pemikiran
Definisi: Percubaan menanam pemikiran asing yang tertentu pada sesorang individu atau sesebuah masyarakat. Secara spesisik, ia bermaksud: Percubaan orang-orang Barat untuk meruntuhkan pemikiran Islam dalam masyarakat Islam dan menanam pemikiran mereka yang asing sebagai gantinya.
Manusia dapat dipimpin dengan akal, pengetahuan dan prinsip dalam fikirannya. Selepas kekalahan bangsa Eropah dalam Peperangan Salib dan mereka juga menyaksikan kekuatan rohani dan pencapaian ilmu umat Islam, mereka memikirkan cara lain untuk menghadapi Islam dan umatnya. Cara itu adalah mengubah pemikiran umat Islam yang akan menyebabkan perubahan akidah mereka. Allah SWT telah menegaskan kekuatan akidah umat yang menjamin kekuatan barisan umat dalam hidup mereka. Firman Allah SWT:
{.. إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ ... }الرعد11
Maksudnya: 11. .. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri...
{ذَلِكَ بِأَنَّ اللّهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّراً نِّعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَى قَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ وَأَنَّ اللّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ }الأنفال53
Maksudnya: 53. (balasan) Yang demikian itu, ialah kerana Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat Yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Cara yang berkesan untuk mengubah prinsip masyarakat adalah menimbulkan keraguan terhadap prinsip atau pemikiran tersebut. Kemudian mendorong mereka supaya berpegang dengan prinsip yang lain. Sekiranya mereka berpuas hati dengannya, mereka sendiri akan terus meninggalkan prinsip lama dan berpegang kepada prinsip baru. Orang-orang Barat telah berputus asa untuk berhadapan dengan kaum Muslimin kekuatan fizikal dan bersenjata selama 200 tahun. Justeru mereka beralih kepada taktik lain, iaitu serangan pemikiran. Kelebihan serangan pemikiran adalah:
i. Bebanannya lebih ringan dari serangan tentera yang menumpahkan darah dan menghabiskan banyak harta dan tenaga.
ii. Kesannya lebih mendalam dalam masyarakat sasaran dan berpanjangan puluhan tahun, bahkan kadang-kadang ratusan tahun.
Contoh Serangan
Umat Islam telah berhadapan dengan pelbagai serangan pemikiran. Ada di antaranya yang gagal dan ada yang berjaya buat sementara waktu ini. Umat Islam pula masih berusaha menghadapi serangan tersebut sehingga hari ini. Antara serangan tersebut adalah:
i. Percubaan oleh kafir Quraisy yang gagal ketika cuba mempengaruhi Rasulullah SAW. Mereka mencadangkan agar: “kamu ikut sedikit agam kami dan kami ikut sedikit agama kamu.” Namun, baginda menolak percubaan ini dan menjelaskan kesan-kesannya. Lalu Allah SWT menurunkan ayat yang menjelaskan bahawa syariat Islam bebas dan berlainan dari ajaran agama-agama lain mahupun pemikiran yang berdasarkan nafsu manusia. Firman Allah SWT:
{ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاء الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ }الجاثية18
Maksudnya: 18. Kesudahannya Kami jadikan Engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka Turutlah syariat itu, dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu orang-orang Yang tidak mengetahui (perkara Yang benar).
ii. Percubaan yang berjaya sementara waktu dan kesannya masih dirasai oleh Umat Islam. Ia adalah percubaan kaum Yahudi memasukkan pendustaan ke dalam hadis-hadis Rasulullah SAW. Ini termasuklah memasukkan khurafat dan kisah-kisah palsu dalam tafsir al-Quran. Namun, para ulama dalam bidang hadis dan tafsir berjaya memadam kesan-kesan yang terbit dari percubaan ini. Mereka membersihkan hadis-hadis Rasulullah SAW dari berita-berita yang diada-adakan (hadis mawdu’) dan membersihkan tafsir dari isra’iliyyat.
Walaupun umat Islam yang berjaya mengatasi serangan pemikiran isra’iliyyat dan serangan tentera Salib , namun mereka tidak dapat menzahirkan kekuatan yang sama dalam menghadapi serangan pemikiran Eropah dalam zaman moden. Serangan ini adalah kes yang paling menyakitkan dan paling teruk kesannya ke atas asas kehidupan dan tamadun Islam sepanjang sejarah Islam.
Ia berkait dengan huru-hara yang dirasai oleh dunia Barat akibat kejatuhan Costantinople dan keruntuhan Kerajaan Rom Timur (Byzantine) di tangan kaum Muslimin pada tahun 1453M. Peristiwa berkenaan telah meletakkan Eropah umpama berada di depan rahang singa, iaitu dengan kehadiran kaum Muslimin di Timur Laut Eropah (Costantinople) dan di Barat Daya Eropah (Andalus). Bangsa Eropah menganggap azan yang dilaungkan di penjuru Eropah dari menara Costantinople dan Andalus sebagai suara amaran yang disahut dengan kepanikan. Sedangkan mereka sepatutnya menerimanya dengan pemikiran terbuka dan pengamatan terhadap prinsip-prinsip dan hidayah Islam.
Eropah cuba mengenali faktor tersembunyi di sebalik siri kemenangan kaum Muslimin sepanjang sejarah. Walaupun kekuatan material umat Islam biasanya menyamai kekuatan musuh atau lebih rendah, namun kemenangan sering berpihak kepada mereka. Tidak sukar bagi bangsa Eropah memahami bahawa sesuatu bangsa mendapat kemenangan kerana dua faktor:
i. Faktor kekuatan maknawi: Kekuatan yang lahir dari akidah dalam jiwa bangsa.
ii. Faktor kekuatan material: Kekuatan yang lahir dari kaedah persediaan dan kelengkapan perang.
Kekuatan maknawi yang kahir dari akidah Islam dalam jiwa mujahidin adalah perkara yang pasti. Seorang Muslim yang memasuki medan peperangan percaya bahawa dia akan mendapat salah satu dari dua kebaikan, iaitu sama ada menang atau mati syahid. Justeru, dia tetap beruntung walaupun tidak menang.
Rahsia itu tersimpan dalam Islam dan sistemnya. Gardner berkata: “Kekuatan yang tersimpan dalam Islam itulah yang menakutkan Eropah.” Lawrence Braun pula menjelaskan: “tetapi bahaya sebenar tersimpan dalam sistem Islam, kekuatannya untuk tersebar dan menundukkan, dalam hidupnya... kerana ialah satu-satunya tembok yang mendepani penjajahan Eropah.”
Akhirnya, Eropah mehamai bahawa peperangan yang sebenar yang perlu diharungi adalah menghadapi Islam sebagai agama, akidah, dasar hidup, sistem masyarakat, politik dan ekonomi. Sasaran utama dan permulaan untuk menguasai kaum Muslimin adalah dengan menggoncang Islam dalam hati dan sistem hidup. Namun, bagaimana rupanya pertempuran menghadapi akidah, kepuasan, budaya, adat, sistem dan kehidupan yang berdiri atas akidah?
Perang menghadapi pemikiran mestilah dengan pemikiran juga. Perang menghadapi prinsip mesti dengan prinsip lain yang berbeza. Ini kerana pemikiran dan akidah tidak dapat diperangi dengan senjata. Sepasukan tentera yang berani tidak akan dapat mempengaruhi manusia supaya mengubah pemikiran dengan kekuatan dan ketajaman pedang.
Di sinilah bermulanya percubaan serangan pemikiran Eropah untuk melemahkan akidah dalam diri kaum Muslimin. Percubaan ini dijalankan melalui kaedah misionari yang berusaha menjayakan penguasaan pemikiran Eropah dan tenteranya ke atas keupayaan kaum Muslimin.
Langkah-langkah Serangan Pemikiran
Serangan pemikiran melalui beberapa peringkat. Antara langkah pentingnya:
i. Gerakan Oreintelisme (dibincangkan dalam tajuk khusus).
ii. Gerakan mengubah kehidupan Islam dengan cara mengubah asas akidah dan pemikiran yang menjadi asas sistem masyarakat.
Dengan kata lain, mengubah falsafah asasi dalam sistem masyarakat, politik dan ekonomi. Percubaan ini bergerak dalam bentuk proses pembaratan dan sekularisasi bangsa Islam dengan memisahkan agama dari negara seperti yang berlaku di Eropah. Kemudian ia menghala kepada menjadikan komunisme sebagai asas kehidupan dalam masyarakat Islam (selepas munculnya gerakan komunis).
iii. Mewujudkan kumpulan serpihan agama dan menggalakkan gerakan sesat yang didokong oleh setengah kelompok umat yang lemah akidah. Contohnya gerakan Babiyyah, Bahai dan Qadiyani.
Rasulullah SAW telah mengingatkan tentang bahaya ini dalam hadis baginda seperti diriwayatkan oleh al-Bukhari:
عن أبي سعيد رضي الله عنه : أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لتتبعن سنن من قبلكم شبرا بشبر وذراعا بذراع حتى لو سلكوا جحر ضب لسلكتموه. قلنا يا رسول الله اليهود والنصارى ؟ قال: فمن.
Maksudnya: “Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kamu akan terikut-ikut dengan perjalanan ajaran orang-orang yang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu akan ikut masuk sama. Lalu para sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Kristian, ya Rasulullah? Jawab Rasulullah s.a.w.: Maka siapa lagi?”
Ybhg. Ust. Abu Zaki,
Ketua Jabatan Pengajian Usuluddin,
Akademi Islam (AI)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
0 comments:
Post a Comment