Thursday, February 19, 2009

Bung Mokhtar Biadap, Gelar Pejuang Bahasa “Anasir”

Sumber:http://anwaribrahimblog.com/2009/02/17/bung-mokhtar-biadap-gelar-pejuang-bahasa-anasir/#more-5625

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kesal dengan tindakan ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar kerana “tidak menunjukkan akhlak yang mulia” dengan menggelar pejuang bahasa sebagai “anasir”.

“Sebagai seorang pemimpin yang duduk di dewan yang mulia (parlimen), beliau (Bung Mokhtar) sepatutnya berbahasa dengan cara yang baik, dengan ketinggian akhlak dan adap sopan,” kata setiausaha gerakan itu, Hasni Abas.

Sehubungan itu, Hasni mendesak ahli Parlimen itu membuat permohonan maaf secara terbuka “sebagai orang yang berbudi bahasa”.

Dalam kejadian kira-kira Jam 12 tengah hari tadi, Bung Mokhtar ditemui pemimpin GMP - diketuai pengerusinya, Datuk Hassan Ahmad - ekoran kenyataannya di dalam dewan hari ini yang didakwa menyifatkan pejuang bahasa sebagai “anasir”.

Bung Mokhtar dipercayai mengulas tindakan GMP hadir ke Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum mendesak pemansuhan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kepada ahli Parlimen pelbagai parti.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Hasni berkata, ahli-ahli parlimen lain yang ditemui mereka tidak berkelakuan sebegitu - termasuk pemimpin Umno lain - seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Menteri Pelajaran sendiri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Hasni yang berada di situ ketika kejadian itu, juga menjelaskan, dalam pertemuan ringkas hampir sepuluh minit itu, wujud ketegangan apabila kedua-dua pihak berselisih pandangan.

‘Minta keluar’

Perkara itu, katanya, menyebabkan Bung Mokhtar meminta mereka keluar dari parlimen atau beliau akan memanggil pengawal bagi menghalau mereka.

Ketika kejadian, tambah Hasni, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Abu Bakar Chik dan tokoh bahasa, Ainon Mohd paling lantang ke depan berhujah dengan Bung Mokhtar.

Sasterawan Negara A Samad Said, profesor matematik Shahril Mohd Zain, profesor bahasa Abdullah Hassan turut berada di situ ketika peristiwa itu berlaku.

Mengulas respons pemimpin-pemimpin BN yang menerima memorandum itu, beliau berkata: “Biasalah, mereka kata akan telitilah.”

Pagi tadi, GMP menggerak kira-kira 20 aktivis bahasa dan sastera berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen, meminta mereka menyuarakan bantahan terhadap PPSMI di dalam persidangan dewan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS turut menerima memorandum tersebut di sebelah pagi bagi kali kedua selepas pilihanraya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu.

0 comments: