KOTA BHARU 23 Mei – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini menyelar ahli-ahli yang bersikap hipokrit sehingga menyebabkan parti itu berterusan dilanda pelbagai kemelut.
Menurut Rafidah, sikap ’yes boss’ anggota parti yang mengiakan setiap keputusan dan kata-kata pemimpin walaupun mereka sebenarnya tidak sependapat, menyumbang kepada masalah yang bertimpa-timpa dihadapi parti ketika ini.
Dengan sikap sebegitu, katanya, tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kekalahan besar parti pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.
``Tidak patutlah kalau nak salahkan presiden semata-mata sehingga suruh dia letak jawatan. Ahli UMNO ni ramai yang hipokrit, sebab itulah nakhoda tidak tahu mana nak pergi, dia ingat semua nak pergi satu tempat kerana di depan mereka kata ya, tak pernah ditegur, tapi belakang pula kata lain.
``Bila timbul masalah, suruh tukar nakhoda. Tak bolehlah setiap kali kapal nak karam, kita angkat nakhoda buang ke laut,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan Wanita UMNO Kelantan di sini hari ini.
Rafidah berkata, pelbagai kemelut yang berlaku dalam UMNO kini memberi isyarat kepada anggotanya bahawa sudah tiba masanya mereka berubah dan lebih ikhlas dan berani dalam perjuangan.
``Hakikatnya tidak ada sesiapa yang berani cakap perkara yang menyakitkan hati ketua mereka. Ada yang berani tegur malangnya kalau ketua mereka sakit hati, terimalah padahnya, tapi yang pentingnya, perlu ikhlas dalam perjuangan.
``Ketua pun kenalah terima teguran anak buah dan anggap itu teguran membina. Dua-dua pihak sepatutnya lebih terbuka. Tapi cara tegur tu kenalah betul,” katanya.
Menyentuh isu peralihan kuasa, Rafidah berpendapat ahli UMNO tidak wajar terlalu mendesak dan seharusnya menyerahkan soal bila ia akan berlaku kepada pertimbangan Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
``Kita janganlah nak letak banyak sangat syarat, biar orang nombor satu parti dan nombor dua berunding sebaik mungkin, mereka faham apa yang perlu dilakukan.
``Kalau sememangnya ada peralihan kuasa, biar mereka yang tentukan. Itu yang sebaiknya untuk parti, bukan baik untuk individu,” katanya.
Mengulas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar UMNO pada Isnin lepas sambil menggesa anggota parti itu mengikut jejaknya, Rafidah berkata, beliau yakin ahli lebih setia kepada parti berbanding kepada individu.
Menurut beliau, tindakan Dr Mahathir itu sesuatu yang mendukacitakan kerana sanggup menyanggah prinsip setia kepada parti seperti yang pernah diajarnya ketika memimpin parti.
``UMNO lah yang bawa dia sampai ke puncak sehingga menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Apa yang berlaku ini bukan salah UMNO tapi masalah kita yang ada di dalam parti ini.
``Kita ikut ajaran Tun (Mahathir) supaya kita setia kepada parti, tetapi dia sendiri tidak buat. Bagaimanapun, kita tidak bimbang anggota UMNO akan ikut keluar parti kerana mereka setia kepada UMNO,” katanya. – BERNAMA.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm