Tuesday, November 4, 2008

Peragut lembik dibelasah

peragut yang diberkas peniaga Jalan Petaling, kelmarin." title="BERKAS...anggota polis merampas pisau milik dua
peragut yang diberkas peniaga Jalan Petaling, kelmarin." width="300" border="0" height="246">
BERKAS...anggota polis merampas pisau milik dua
peragut yang diberkas peniaga Jalan Petaling, kelmarin.

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dua peragut cuba berlagak garang apabila mengacukan pisau tajam sebaik dikepung orang ramai termasuk puluhan peniaga sekitar Jalan Petaling di sini, sejurus cubaan mereka melarikan beg seorang mangsa gagal.

Dalam drama cemas jam 2 petang kelmarin, cubaan suspek menggertak orang ramai dengan senjata tajam itu sebaliknya mengundang padah apabila kedua-dua suspek akhirnya dibelasah beramai-ramai hingga tersungkur berlumuran darah.

Tindakan samseng dua penjenayah berkenaan turut hampir meragut nyawa mereka sendiri apabila orang ramai seperti cuba melepaskan geram dengan memukul suspek bertalu-talu hingga longlai berikutan marah dengan perbuatan jenayah dilakukan.

Seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Fong, 30-an, berkata, kejadian hanya disedari apabila peniaga kawasan berkenaan terdengar jeritan seorang lelaki yang cuba diragut dua suspek itu di kawasan tepi jalan.


Ketika itu seorang lelaki berusia 30-an dilihat cuba mempertahankan beg bimbit dibawa daripada dirampas dua lelaki tidak dikenali yang berusaha menariknya dari belakang.

Mangsa yang bergelut bagi menyelamatkan beg terbabit menjerit tidak henti-henti menyebabkan orang ramai terkejut dan berlari memberi bantuan.

“Ketika itu beberapa peniaga berhampiran sanggup meninggalkan gerai jualan dan pelanggan masing-masing kerana ingin membantu memberkas suspek yang dipercayai warga tempatan.

“Bagaimanapun, peragut berkenaan yang terkejut cuba menghunuskan pisau bagi mengelak mereka daripada ditangkap,” katanya yang berniaga cermin mata di kawasan berkenaan.

Menurutnya, beberapa peniaga bagaimanapun tidak gentar apabila terus menyerbu sebelum merampas senjata milik penjenayah.

“Akibatnya orang ramai yang geram membelasah dan memukul kedua-dua lelaki berkenaan bertubi-tubi. Ada yang menumbuk muka suspek termasuk segelintir yang menendang mereka tanpa memberi peluang mereka melarikan diri.

“Difahamkan sebelum kejadian, suspek menggunakan taktik dengan sengaja menepuk bahu mangsa sebelum merentap tali beg dibawa sebaik mangsa berpaling ke belakang,” katanya.

Menurutnya, orang ramai kemudian menggunakan tali untuk mengikat tangan suspek yang ketika itu sudah lembik dipukul.

“Namun, kemunculan Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong yang kebetulan melalui kawasan terbabit berjaya menyelamatkan nyawa suspek dari terus dibelasah orang ramai.

“Dia meminta supaya tindakan itu dihentikan sebelum segera menghubungi polis. Tidak sampai lima minit, dua anggota polis bersama kereta peronda muncul sebelum memberkas kedua-dua suspek lalu dibawa ke Balai Polis Dang Wangi,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu sedikit sebanyak mencemarkan imej negara berikutan ia berlaku di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong asing.

Malah, insiden suspek dipukul itu turut dirakamkan menggunakan kamera oleh beberapa pelancong asing yang kebetulan bersiar-siar di Jalan Petaling itu.

“Ini kes ragut kali kedua berlaku dalam tempoh dua minggu di kawasan ini dan penjenayah sebelum ini turut diberkas kumpulan peniaga,” katanya.

0 comments: