Tuesday, December 11, 2007

HOLOGRAM AL-QURAN


Hologram al-Quran
Oleh Kamarulzaman Pid

PUTRAJAYA: Teks al-Quran melangkah ke era baru mulai tahun depan apabila cop pengesahan yang digunakan ketika ini bagi mengesahkan kesucian kandungannya digantikan dengan pelekat hologram.

Ketua Unit Penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan Teks dan al-Quran KKDN, Zailani Hashim, berkata kaedah itu digunakan bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan dan keseragaman terhadap kandungan teks al-Quran yang dipasarkan di negara ini.

"Ketika ini, sesebuah al-Quran yang sudah disahkan kesucian kandungannya mempunyai cop pengesahan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan al-Quran.

"Bagaimanapun, selepas ini, apabila kita membeli teks al-Quran, kita akan mendapati terdapat pelekat hologram sama ada di helaian depan atau belakang dilekatkan pada sesebuah al-Quran itu.


"Melalui kaedah ini juga, masyarakat Islam akan mendapati kandungan kesuciannya lebih terjamin," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.


Zailani berkata, penggunaan pelekat hologram itu digunakan selepas mendapati kaedah sama berjaya mengawal pengeluaran cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD), yang digunakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Melalui kaedah ini, ia akan memudahkan tugas kita dalam menjalankan penguatkuasaan dan di samping itu, ia juga memudahkan masyarakat Islam untuk membeli al-Quran yang sudah disahkan kesucian kandungannya," katanya.

Zailani berkata, rampasan ke atas teks al-Quran dijalankan sekiranya kandungannya didapati mempunyai pelbagai kesalahan dalam teks berkenaan.

"Antara kesalahan yang sering dikesan dalam sesebuah teks al-Quran yang dirampas ialah ayat tidak bernombor, tiada titik, titik tertinggal, kalimah tertinggal dan banyak kesalahan lain.

"Apabila terdapat kesalahan seperti ini, ia akan menyebabkan makna sesebuah ayat itu akan `lari' daripada maksud sebenarnya," katanya.

Beliau berkata, masalah penjualan al-Quran yang tidak disahkan kandungannya di pasaran negara ini masih boleh dibendung kerana wujud kesedaran tinggi di kalangan masyarakat Islam mengenai kandungan sesebuah al-Quran itu.

"Kita mendapat kerjasama penuh daripada pelbagai pihak terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), berikutan mereka tidak mempunyai kuasa untuk merampas seperti ada pada kita.

"Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada pihak yang terbabit secara langsung dalam indutsri ini iaitu penerbit, pengedar dan penjual," katanya.

Mengikut statistik, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 10,613 unit teks al-Quran dirampas mengikut Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986, yang dianggarkan bernilai RM157,603.39.


Harian metro 3dis07

0 comments: