Tuesday, December 11, 2007

Masuk Islam bukan masuk Melayu

Masuk Islam bukan masuk Melayu
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

10dis07


KONSEP ketuhanan yang satu ditekankan Islam turut terdapat dalam beberapa ajaran lain seperti Kristian dan Hindu, menunjukkan wujud persamaan dalam konteks itu, cuma disebabkan kejahilan menyebabkan ia tersingkap daripada diketahui.

Shah Kirit Kakulal Govindji, 41, dari Saba Islamic Media, berkata konsep ketuhanan yang satu juga ditegaskan di dalam kitab ajaran Kristian dan Hindu.

“Jika lihat Bible, tiada satu ayat pun yang jelas menegaskan Nabi Isa a.s mengaku Tuhan. Justeru, mengapa ada konsep Triniti dalam ajaran Kristian.

“Apabila dipersoalkan, orang Kristian mengatakan konsep Triniti misteri, tetapi dalam Islam ketuhanan jelas seperti dalam surah al-Ikhlas.

“Dalam buku ajaran Hindu menerangkan tuhan satu, tiada rupa dan tidak diperanakkan tetapi orang Hindu mengatakan tuhan berupa.

“Yajurveda menegaskan menyembah sesuatu yang diperbuat daripada tangan seperti patung menjatuhkan dalam kegelapan,” katanya, menyampaikan ceramah sempena jamuan Syawal di Surau al-Ittihad, dekat Taman Melati, Gombak, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Gombak Setia, Yuszahari Mohd Yusof; Naib Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wilayah Persekutuan, Datuk Rashid Omar dan Yang Dipertua Badan Kebajikan Taman Setua Perwira Indah, Datuk Mohamad Md Yasin.

Shah Kirit yang memeluk Islam sejak 11 tahun lalu berkata, titik persamaan seperti itu perlu diuar-uarkan kebenarannya bagi memupuk keharmonian hubungan pelbagai kaum kerana dengan merapatkan jurang perbezaan dapat mengelakkan pertikaian.

Dia sangat bertuah kerana menjadi seorang Muslim, dapat mengenali jalan kebenaran, walaupun satu ketika dulu berfahaman lain dan cukup perit berdepan cabaran.

“Kadang-kala (orang Melayu) apabila mendengar orang mahu masuk Islam dalam pemikiran ada prasangka, hendak kahwin sebab itu masuk Islam.

Salahkah orang seperti saya yang hendak masuk Islam melalui perkahwinan?” katanya mempersoalkan pemikiran negatif sesetengah pihak.

Menurutnya, ada ketika masyarakat sekeliling tidak mengambil tahu hal berkaitan saudara baru, jauh sekali untuk menjalankan dakwah, baik dakwah bil hal (contoh dan akhlak) atau dakwah bil mal (harta dan wang ringgit).

“Adakah kita menjalankan tanggungjawab untuk menyampaikan ajaran al-Quran pada bukan Islam, berdakwah pada bukan Muslim,” katanya.

Beliau menegaskan, dakwah bukan satu pekerjaan yang sukar, malah senyum pada bukan Muslim juga dinamakan dakwah.

“Pengalaman kami masuk Islam memang susah. Apabila jumpa ustaz, diberitahu kena menunaikan solat lima kali sehari, sedangkan dalam Hindu dua kali setahun untuk ke kuil pun susah.

“Kami diberitahu kena berkhatan, kena memakai kain pelekat, kopiah dan songkok, seolah-olah kami dipaksa memakai sedangkan benda ini tidak wajib,” katanya.

Menurutnya, sesetengah aturan yang cuba disematkan itu adalah budaya orang Melayu yang menyusahkan lagi bagi saudara baru.

“Sebenarnya, orang Cina atau India yang masuk Islam boleh mengamalkan budaya masing-masing, asalkan tidak bercanggah dengan syariat. Budaya orang Melayu yang bercanggah juga perlu ditinggalkan.

Hari ini orang Cina dan India masuk Islam dan masuk Melayu juga,” katanya.

0 comments: