Wednesday, December 19, 2007

PERUTUSAN SEMPENA AIDILAHDA 1428H/2007

Alhamdulillah...segala puji bagi Allah,selawat dan salam keatas Nabi junjungan besar Muhammad Rasulullah SAW, para sahabat
dan mereka yang sentiasa berusaha dalam menegakkan agama Allah iaitu Al-Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah:

Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".
(Al-Bazzar dan Ibnu Hibban)


Pertama sekali,saya selaku ketua Lajnah Penerbitan dan Publisiti ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha
yang penuh barakah ini,semoga dengan kehadirannya dapat memberi seribu erti perngorbanan dalam kehidupan kita.

Pada setiap tahun Allah mengurniakan tetamu tahuan bagi umat Islam yang mana tetamu ini akan memberi seribu mengertian
tentang kebesaran dan juga sifat ketaqwaan kepada Allah s.w.t iaitu Hari Raya Aidilfiri dan Hari Raya Aidiladha.

Pada tahun ini sekali lagi kita diizin kan Allah untuk bertemu dengan Aidiladha yang juga dikenali dengan Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji
Pada hari ini juga ramai umat Islam yang berkumpul di Tanah Suci Mekkah untuk menunaikan kemuncak segala amalan iaituI badah Haji, begitu juga kita yang berada di tahah air akan melaksanakan Ibadah Korban.

Aidiladha mendatangkan banyak hikmah kepada kita supaya kita menghayati hari kebesaran ini iaitu memperingati kisah Nabi Ibrahim a.s yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail yang merelakan diri untuk dikorbankan semata-mata kerana perintah dari Allah s.w.t. Nabi Ismail ketika itu masih kanak telah mengetahui pa itu erti ketaatan dan kataqwaan kapada
Allah swt,ini memberi pengajaran kepada kita betapa besarnya erti pengorbana dalam melaksanakan perintah Allah dalam
semua aspek samada dalam sistem pendidikan,politik,rumahtangga ataupun undang-undang dalam negara.

Akhir sekali kami mendoakan semoga Aidiladha pada tahun ini dapat memberi kita keberkatan dalam melaksanakan ibadah
dan juga membuka hati kita supaya terus bertaqwa dan sentiasa menjalankan segala amalan atau perbuatan kerana Allah taala.

Wallahua'lam

Tuesday, December 11, 2007

Walimatul urus bukan pesta!


Walimatul urus bukan pesta!
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my 10dis '07


BAGI setiap pasangan yang diijab kabul, mereka diraikan dalam majlis kenduri kahwin atau disebut walimatul urus kerana melalui majlis inilah perkahwinan pasangan terbabit diketahui ramai pihak, sekali gus mengelak prasangka buruk terhadap mereka.

Majlis berkat jika patuhi syariat

BAGI setiap pasangan yang diijab kabul, mereka diraikan dalam majlis kenduri kahwin atau disebut walimatul urus kerana melalui majlis inilah perkahwinan pasangan terbabit diketahui ramai pihak, sekali gus mengelak prasangka buruk terhadap mereka.


Majlis kenduri kahwin dianjurkan agama dan hukumnya sunat. Justeru, sesuailah dengan amalan yang dilakukan masyarakat hari ini, apabila ada perkahwinan diadakan majlis kenduri dengan dijemput orang ramai menghadirinya.

Dari Anas bin Malik r.a menyebut Rasulullah s.a.w melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: “Wahai Rasulullah aku sudah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas.” Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.” (Muttafaqun alaih)

Tetapi dalam situasi kebelakangan ini, sesetengah majlis kenduri kahwin seolah-olah menjadi arena untuk menunjuk-nunjuk dan bersuka ria, diadakan besar-besaran di hotel mewah, membabitkan tetamu istimewa saja dan bercampur dengan unsur maksiat. Apakah ini bentuk walimatul urus dalam Islam?

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata umat Islam sepatutnya bersederhana apabila mengadakan majlis itu, sesuai dengan nasihat Rasulullah s.a.w kepada umatnya supaya bersederhana dalam semua perkara.

Amalan sederhana itu katanya, bertujuan mengelak pembaziran dan unsur maksiat dalam majlis kenduri berkenaan.

Gesaan bersederhana ini sesuai dengan ayat 26 surah al-Isra' bermaksud: “Berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin dan orang musafir hak masing-masing dan janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros.”

Menurutnya, majlis kenduri terbabit boleh menjadi majlis yang diberkati jika bertepatan dengan anjuran Islam, tetapi sebaliknya menjadi majlis terkutuk apabila bercampur aduk dengan maksiat.

“Bagi memastikan walimah yang diberkati Allah, pertama, kena menggunakan sumber rezeki yang halal, iaitu wang yang digunakan untuk majlis terbabit tidak diperoleh melalui cara haram.

“Majlis yang diadakan itu juga perlu jauh daripada unsur riak iaitu menunjuk-nunjuk dan bertujuan berbangga-bangga dengannya,” katanya.

Mohd Rani menegaskan, walimah urus bukanlah suatu majlis untuk berpesta dan bersukaria tidak menentu, malah ia adalah satu bentuk ibadat diperintah Allah yang perlu diadakan sebaik mungkin mengikut anjuran agama.

“Elak daripada bercampur dengan unsur yang diharamkan, tidak melalaikan, tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, tiada lagu yang melalaikan dan benda lain yang tidak baik.

“Ulama besar yang warak dulu tidak menghadiri majlis kenduri apabila ada bunyi gong atau gendang, kerana mereka tidak mahu dilalaikan benda seperti itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila mengadakan majlis kenduri kahwint jangan sampai berhutang sebaliknya buat mengikut kemampuan.

“Tetapi bagi orang berada, tiada masalah untuk mengadakan walimah besar-besaran dengan syarat menepati dengan anjuran Islam, menjemput semua orang termasuk orang miskin supaya matlamat walimah tercapai, memupuk persefahaman dan perkenalan,” katanya.

Mohd Rani berkata, masyarakat juga perlu mengelak daripada menjadikan walimatul urus seolah-olah satu bentuk komersial dengan menetapkan bayaran tertentu apabila mahu menghadirinya.

“Majlis ini perlu dilakukan dengan ikhlas. Tetamu juga perlu ikhlas dan apabila ada sumbangan atau hadiah kepada pasangan pengantin terbabit hulurkan dengan niat sedekah sebagai satu ibadat.

“Orang dulu membantu pihak yang mengadakan walimah dengan membawa sedikit bahan makanan seperti gula,” katanya sambil mengingatkan pihak yang mengadakan walimah supaya tidak memaksa atau memandang sinis kepada tetamu yang tidak menghulurkan sumbangan.

Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian adalah menyusahkan tetamu terutama golongan miskin, malah berlawanan dengan roh Islam.

Sementara itu, menurut Datuk Daud Che Ngah, sesetengah majlis kenduri kahwin kini tidak menepati anjuran agama kerana majlis dihadiri golongan tertentu saja iaitu orang kaya sesama orang kaya, manakala yang miskin diabaikan malah program kebaratan.

“Orang yang mengadakan kenduri dengan menjemput orang kaya saja manakala orang miskin tidak dijemput, kenduri itu kenduri terburuk.

“Jika panggil orang besar, hebat, saya ingat orang itu saja yang tahu, orang kampung tidak tahu. Ramai yang mengadakan kenduri perkahwinan kerana bangga dan riak (menunjuk-nunjuk),” katanya.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang.” (Muslim)

Katanya, dalam perkahwinan boleh mengadakan kenduri tetapi jangan terlalu mewah, bercampur maksiat dan terdedah aurat.
emel

PELUANG KERJAYA BAGI SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM

PELUANG KERJAYA BAGI SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM


KURSUS EKSEKUTIF PRODUK HALAL

PENGENALAN

Sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Produk Halal (Halal Hub), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah memberikan mandat kepada Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjalankan program Eksekutif Produk Halal.


MATLAMAT

Program ini berhasrat untuk melahirkan tenaga kerja yang profesional dari kalangan graduan Pengajian Islam untuk merebut peluang yang luas dengan melibatkan diri secara aktif dalam industri khususnya dalam pengeluaran produk halal.




TEMPOH PENGAJIAN & SYARAT KEMASUKAN

Program ini berjalan selama 6 bulan; 4 bulan kuliah intensif dan 2 bulan latihan amali. Sepanjang program ini peserta akan didedahkan dengan sains aplikasi, teknologi makanan, akta-akta yang melibatkan pengeluaran dan pemerosesan makanan, prosedur pensijilan Halal dalam dan luar negara dan lain-lain yang berkaitan dengan pengeluaran produk Halal.

Program ini terbuka kepada graduan warganegara Malaysia yang memiliki Diploma/Ijazah Pengajian Islam dari IPTA & IPTS dalam dan luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan atau Lembaga Akreditasi Negara (LAN). Setiap peserta juga akan diberikan elaun sebanyak RM 500 sebulan sebagai insentif.


PELUANG KERJAYA

Eksekutif Produk Halal di Industri Tempatan dan Luar Negara
Badan Pengawasan/Persijilan Produk Halal seperti JAKIM atau Jabatan Islam Negeri-negeri.


Untuk keterangan lanjut, sila hubungi En.Mohd Hasni Zulkifle, Kaunselor USIM di talian 06-7988075/019-2634281 atau berhubung terus dengan ;


En. Zulkifli Ab. Latif
Urusetia Kursus Eksekutif Produk Halal
Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka
Tel : 019-2121965 / 03-78472300
Faks : 03-78472301
Email : zul@orbiteguh.com

SESI PENGAMBILAN PADA BULAN NOVEMBER 2007

www.pkpim.net
spp@pkpim.net

Masuk Islam bukan masuk Melayu

Masuk Islam bukan masuk Melayu
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

10dis07


KONSEP ketuhanan yang satu ditekankan Islam turut terdapat dalam beberapa ajaran lain seperti Kristian dan Hindu, menunjukkan wujud persamaan dalam konteks itu, cuma disebabkan kejahilan menyebabkan ia tersingkap daripada diketahui.

Shah Kirit Kakulal Govindji, 41, dari Saba Islamic Media, berkata konsep ketuhanan yang satu juga ditegaskan di dalam kitab ajaran Kristian dan Hindu.

“Jika lihat Bible, tiada satu ayat pun yang jelas menegaskan Nabi Isa a.s mengaku Tuhan. Justeru, mengapa ada konsep Triniti dalam ajaran Kristian.

“Apabila dipersoalkan, orang Kristian mengatakan konsep Triniti misteri, tetapi dalam Islam ketuhanan jelas seperti dalam surah al-Ikhlas.

“Dalam buku ajaran Hindu menerangkan tuhan satu, tiada rupa dan tidak diperanakkan tetapi orang Hindu mengatakan tuhan berupa.

“Yajurveda menegaskan menyembah sesuatu yang diperbuat daripada tangan seperti patung menjatuhkan dalam kegelapan,” katanya, menyampaikan ceramah sempena jamuan Syawal di Surau al-Ittihad, dekat Taman Melati, Gombak, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Gombak Setia, Yuszahari Mohd Yusof; Naib Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wilayah Persekutuan, Datuk Rashid Omar dan Yang Dipertua Badan Kebajikan Taman Setua Perwira Indah, Datuk Mohamad Md Yasin.

Shah Kirit yang memeluk Islam sejak 11 tahun lalu berkata, titik persamaan seperti itu perlu diuar-uarkan kebenarannya bagi memupuk keharmonian hubungan pelbagai kaum kerana dengan merapatkan jurang perbezaan dapat mengelakkan pertikaian.

Dia sangat bertuah kerana menjadi seorang Muslim, dapat mengenali jalan kebenaran, walaupun satu ketika dulu berfahaman lain dan cukup perit berdepan cabaran.

“Kadang-kala (orang Melayu) apabila mendengar orang mahu masuk Islam dalam pemikiran ada prasangka, hendak kahwin sebab itu masuk Islam.

Salahkah orang seperti saya yang hendak masuk Islam melalui perkahwinan?” katanya mempersoalkan pemikiran negatif sesetengah pihak.

Menurutnya, ada ketika masyarakat sekeliling tidak mengambil tahu hal berkaitan saudara baru, jauh sekali untuk menjalankan dakwah, baik dakwah bil hal (contoh dan akhlak) atau dakwah bil mal (harta dan wang ringgit).

“Adakah kita menjalankan tanggungjawab untuk menyampaikan ajaran al-Quran pada bukan Islam, berdakwah pada bukan Muslim,” katanya.

Beliau menegaskan, dakwah bukan satu pekerjaan yang sukar, malah senyum pada bukan Muslim juga dinamakan dakwah.

“Pengalaman kami masuk Islam memang susah. Apabila jumpa ustaz, diberitahu kena menunaikan solat lima kali sehari, sedangkan dalam Hindu dua kali setahun untuk ke kuil pun susah.

“Kami diberitahu kena berkhatan, kena memakai kain pelekat, kopiah dan songkok, seolah-olah kami dipaksa memakai sedangkan benda ini tidak wajib,” katanya.

Menurutnya, sesetengah aturan yang cuba disematkan itu adalah budaya orang Melayu yang menyusahkan lagi bagi saudara baru.

“Sebenarnya, orang Cina atau India yang masuk Islam boleh mengamalkan budaya masing-masing, asalkan tidak bercanggah dengan syariat. Budaya orang Melayu yang bercanggah juga perlu ditinggalkan.

Hari ini orang Cina dan India masuk Islam dan masuk Melayu juga,” katanya.

HOLOGRAM AL-QURAN


Hologram al-Quran
Oleh Kamarulzaman Pid

PUTRAJAYA: Teks al-Quran melangkah ke era baru mulai tahun depan apabila cop pengesahan yang digunakan ketika ini bagi mengesahkan kesucian kandungannya digantikan dengan pelekat hologram.

Ketua Unit Penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan Teks dan al-Quran KKDN, Zailani Hashim, berkata kaedah itu digunakan bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan dan keseragaman terhadap kandungan teks al-Quran yang dipasarkan di negara ini.

"Ketika ini, sesebuah al-Quran yang sudah disahkan kesucian kandungannya mempunyai cop pengesahan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan al-Quran.

"Bagaimanapun, selepas ini, apabila kita membeli teks al-Quran, kita akan mendapati terdapat pelekat hologram sama ada di helaian depan atau belakang dilekatkan pada sesebuah al-Quran itu.


"Melalui kaedah ini juga, masyarakat Islam akan mendapati kandungan kesuciannya lebih terjamin," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.


Zailani berkata, penggunaan pelekat hologram itu digunakan selepas mendapati kaedah sama berjaya mengawal pengeluaran cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD), yang digunakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Melalui kaedah ini, ia akan memudahkan tugas kita dalam menjalankan penguatkuasaan dan di samping itu, ia juga memudahkan masyarakat Islam untuk membeli al-Quran yang sudah disahkan kesucian kandungannya," katanya.

Zailani berkata, rampasan ke atas teks al-Quran dijalankan sekiranya kandungannya didapati mempunyai pelbagai kesalahan dalam teks berkenaan.

"Antara kesalahan yang sering dikesan dalam sesebuah teks al-Quran yang dirampas ialah ayat tidak bernombor, tiada titik, titik tertinggal, kalimah tertinggal dan banyak kesalahan lain.

"Apabila terdapat kesalahan seperti ini, ia akan menyebabkan makna sesebuah ayat itu akan `lari' daripada maksud sebenarnya," katanya.

Beliau berkata, masalah penjualan al-Quran yang tidak disahkan kandungannya di pasaran negara ini masih boleh dibendung kerana wujud kesedaran tinggi di kalangan masyarakat Islam mengenai kandungan sesebuah al-Quran itu.

"Kita mendapat kerjasama penuh daripada pelbagai pihak terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), berikutan mereka tidak mempunyai kuasa untuk merampas seperti ada pada kita.

"Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada pihak yang terbabit secara langsung dalam indutsri ini iaitu penerbit, pengedar dan penjual," katanya.

Mengikut statistik, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 10,613 unit teks al-Quran dirampas mengikut Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986, yang dianggarkan bernilai RM157,603.39.


Harian metro 3dis07