Saturday, March 29, 2008

Kenangan Bersama Segar diMinda.


Dah berbulan berlalu, kenangan dalam Program Khidmat Desa (ProKhiD) anjuran Dewan Pemuda Masjid Malaysia (DPMM),pada 13-16 Disember 2007, masih segar dalam ingatan,yang menjemput mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS) untuk menyertai program itu. pada hari itu saya yang berasal dari ceruk desa negeri Kelantan Darul Naim ini tak menyangka dapat hidup beberapa hari dalam keluarga masyarakat Negeri Sembilan (N.9) darul Khusus yang 100% mengamalkan adat pepatih.

Program ini diadakan di kampung Sialang dan Bukit Kelulut dalam Daerah Bahau, saya dan beberapa sahabat yang lain iaitu Syaher (Dip. IT), Adib(Dip. Tahfiz), Zaki (Dip. Dakwah), Rahimi(Dip. Dakwah) dan Radhi ( Dip. Tahfiz) menjadi adik beradik angkat dalam sebuah keluarga angkat ibu tunggal yang ingat saya ada 12 orang anak,kebetulan pada masa itu ada dua orang adan seorang menantu tinggal bersamanya.

Ibu angkat saya bersama Hajah Rahah Bt Abdullah berumur 50tahun hehe… mak kandung pun tak seumur itu. Apa yang saya suka dengan beliau ialah seorang yang baik dan jika dia tak suka pada sesuatu perkara, dia tidak berkata dengan kasar atau marah, cukup dengan teguran dan sindiran yang membinaJ.

Pengalaman semasa bersama dengan nya dapat mengetahui cara hidup masyarakat desa N.9 yang sedrhana tetapi mewah kerana dalam adat pepatih tanah dan harta jatuh kepada adik beradik perempuan kerana menurut penghulu (pengerusi JKK) kampung itu, Dato’ Syah bandar Ali, pada masa dulu, perempuan yang bercerai dan kematian suami tidak bekerja,jadi amat patut harta bagi kepada kaum hawa bagi membantu kehidupan mereka manakala lelaki akan tarus mengembara untuk mencari makan, menurut penghulu tadi.

Salain itu juga, saya dapat mengenali antara jenis Ikan Keli dan Ikan Sombilan. Ikan Sombilan sama rupa dengan ikan keli Cuma dibawah perutnya sahaja terdapat bintik-bintik hitam kekelabuan dan pada masa itu mak sedang menyiang ikan tersebut untuk dimasak Masak Lomak ikan Sombilan yang pedas yang tahap dewa, dan ia juga menyebab kan saya betambah berat badan sebanyak 72KG hehe..

Saya juga amat merindukan anak sedara angkat yang juga cucu kepada mak, bernama Aina Amira yang begitu cute kulit berwarna “Chokolat” tetapi petah bercakap dan loya buruk, saya memang suka kepada kanak-kanak kerana mereka comel dan manja.

Dan pengalaman bersama-sama penduduk kampung berkerjasama dalam majlis kenduri, saya dapat merasai bagaimana orang luar kelantan buat kenduri, ternyata berbeza dari segi sauasana yang ceria dan hidup dengan permuafakaan macam kelantan, Cuma berbeza dari segi jenis masakan tradisi iaitu masak Lomak atau “Lompak” yang pedas tak terkata.

Bersyukur kehadrat illahi kerana mengizinkan saya menyertai program seperti ini,yang dapat membuka minda,menambah ilmu pengetahuan serta penngalaman yang amat-amat berharga… mak saya akan sentiasa merindui mu dan kami adik beradik pasti kembali…. L

Thursday, March 27, 2008

Isu MB Terengganu tiada keputusan

Oleh:NorAziah Jaafar-http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

KUALA TERENGGANU 26 Mac – Kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu masih belum menunjukkan sebarang penyelesaian muktamad walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Pertemuan itu yang merupakan acara menghadap mingguan pada setiap Rabu dikatakan turut membincangkan isu pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang dibantah oleh 23 ADUN Barisan Nasional (BN) negeri ini.

Beberapa jam selepas Abdullah menghadap Seri Paduka, bekas Menteri Besar yang merupakan ADUN Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh dilaporkan menemui Abdullah selama setengah jam di Putrajaya bermula pukul 12.45 tengah hari.

Namun tiada sebarang pengumuman mengenai kedua-dua pertemuan itu dibuat oleh Abdullah yang mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

Sehingga malam ini, kedudukan Idris dan Ahmad dikatakan belum jelas, tetapi para pegawai UMNO membayangkan isu itu sudah pasti dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang akan diadakan esok.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosol Wahid berkata, semua ADUN BN Terengganu bersedia menerima apa sahaja arahan Abdullah sebagai penyelesaian kepada kemelut politik itu.

Katanya, buat masa ini pendirian mereka masih sama iaitu menyokong pelantikan Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu sebagai Menteri Besar.

Rosol menolak desas-desus yang mengatakan terdapat dalam kalangan 23 ADUN yang berdiri di belakang Idris telah beralih menyokong Ahmad yang dilantik oleh istana.

“Kita tunggu arahan daripada presiden. Apa saja yang presiden minta... apa yang dibuat sekarang pun (sokong Idris) adalah atas arahan presiden.

“Dapat saja arahan daripada Presiden, kita akan adakan perjumpaan untuk membincangkan arahan yang diberikan,” kata Rosol ketika dihubungi.

Menurutnya, kesemua 23 ADUN terlibat masih berada di ibu negara. Kecuali Idris, mereka belum dipanggil bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan perkara itu.

Beliau percaya kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu akan mencapai jalan penyelesaian esok.

Katanya: “Berdoalah untuk penyelesaian terbaik demi kepentingan rakyat Terengganu.”

Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu melantik Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu Ahad lalu walaupun orang yang memperoleh watikah daripada Perdana Menteri untuk menjadi Menteri Besar ialah Idris.

Monday, March 24, 2008

Kebangkitan Parti Politik Islam Di Turki : Dari MNP ke AKP

Oleh Mohd Firdaus Mohd Hamsin

JK Biro Penerangan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Arus kebangkitan parti politik Islam di Turki bermula semenjak 1947, apabila kerajaan di bawah pimpinan Parti Republikan Rakyat Turki (CHP), mula melonggarkan kawalan ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam, yang telah dilaksanakan semenjak 1924. Ia termasuk memberi kebenaran untuk sekolah-sekolah agama dibuka semula serta memberikan kebebasan bersuara, yang bakal menjadi duri dalam daging kepada penganut fahaman sekular yang dipelopori oleh Kamal Attaturk.
Dasar ini dirangka bertujuan untuk mendapatkan sokongan di kalangan rakyat di kawasan pedalaman, yang rata-ratanya masih berpegang kuat dengan ajaran Islam serta tidak menyokong pemerintahan CHP, di samping sebagai tindak balas terhadap kempen parti-parti pembangkang yang mahukan kebebasan bersuara diterapkan di negara itu.


Meskipun begitu, dasar ini tidak dapat membantu CHP untuk memenangi pilihanraya umum negara itu pada 1950, yang menyaksikan kemenangan besar di capai oleh Parti Demokrat. Meskipun tetap komited untuk mengamalkan dasar sekular, ia tidak dapat memadamkan kebimbangan terutama sekali di kalangan golongan tentera, yang bertindak menggulingkan kerajaan Parti Demokrat pada rampasan kuasa 1960.

Ia berikutan daripada beberapa tindakan Parti Demokrat menggunakan imej Islam serta menjalin hubungan yang akrab dengan beberapa tokoh agama, sebagai usaha untuk menjalin sokongan di peringkat akar umbi. Situasi ini jelas tidak disenangi golongan tentera di Turki, yang menggangap diri mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan dasar sekular negara tersebut.

NECMETTIN ERBAKAN

Sebelum penubuhan Parti Refah (Parti Kebajikan) pada 1983, Necmettin Erbakan terlibat di dalam penubuhan dua parti politik berorientasikan Islam. Selepas parti pertamanya, Mili Nizam Partisi (MNP), diharamkan pada 1970, beliau telah menubuhkan MSP (Mili Selamet Partisi), yang berhasil membentuk kerajaan campuran dengan CHP, selepas pilihanraya umum Turki 1973.

Dalam pilihanraya tersebut, MSP mendapat sokongan yang meluas di kalangan golongan miskin, yang tertarik dengan keprihatinan yang diberikan oleh parti tersebut ke atas mereka. Kerajaan campuran ini hanya bertahan sehingga September1980, apabila ia digulingkan melalui satu lagi rampasan kuasa tentera. Rampasan kuasa tersebut telah menyaksikan Erbakan dipenjarakan atas tuduhan mencabar dasar sekular yang diamalkan oleh negara tersebut.

Penubuhan Parti Refah pada 19 Julai 1983, berlaku ketika kerajaan Turki di bawah pimpinan Perdana Menteri, Korkut Ozal, mengamalkan kebebasan berpolitik di negara tersebut. Seperti MNP dan MSP, Parti Refah telah menjalinkan hubungan yang rapat dengan tokoh-tokoh agama di samping menerapkan pendekatan mendampingi golongan miskin.

PARTI REFAH


Petanda awal kebangkitan Parti Refah kelihatan, apabila ia telah memenangi sebilangan besar kerusi dalam pilihanraya peringkat bandaran yang diadakan pada 1994. Ia disusuli dengan kejayaan parti tersebut memenangi 158 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum Turki 1995. Dengan jumlah kerusi yang diperolehi itu, Parti Refah berjaya membentuk kerajaan campuran bersama dengan Parti Haluan Benar (DYP), pimpinan Tansu Ciller, yang memperolehi 135 kerusi.

Sekaligus, Parti Refah menjadi parti politik berorientasikan Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan di Turki. Meskipun melaksanakan beberapa polisi seperti menggalakkan debat terbuka mengenai sekularisme, membenarkan pemakaian tudung di tempat-tempat awam serta menjalinkan hubungan rapat dengan tokoh-tokoh ulama’, namun kerajaan pimpinan Erbakan tidak sunyi daripada menghadapi kritikan.


Antara kritikan utama ialah tindakan kerajaan pimpinannya, menjalinkan kerjasama ketenteraan dengan Israel , yang dianggap bertentangan dengan pendirian yang diamalkan oleh Parti Refah sebelum ini. Keadaan ini berlaku berikutan kerjasama politik yang dijalinkan oleh Erbakan dan Ciller, yang memerlukan kedua-dua pihak untuk bertolak ansur.


Ia dapat dilihat dari pendekatan Ciller, yang dianggap bersikap terbuka terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Parti Refah. Bahkan, beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Islam merupakan sumber utama yang membentuk identiti rakyat Turki, justeru ia (Islam), tidak sepatutnya diketepikan daripada kehidupan rakyat Turki. Dengan mengambil kira latar belakang Ciller yang dianggap sebagai simbol wanita Turki moden, kenyataan ini jelas amat mengejutkan!

KEBANGKITAN AKP

Selepas Parti Refah diharamkan pada 16 Januari 1998, sebahagian besar dari bekas anggota parti tersebut telah mengasaskan Parti Fazilet, yang berjaya memperolehi 111 kerusi parlimen dalam pilihanraya 1999. Salah seorang dari ahli parlimen tersebut, Merve Kavakci, telah mencetuskan kontroversi kerana mengenakan tudung ketika menghadiri persidangan parlimen.


Ekoran daripada itu, Kavakci telah dilucutkan tarafnya selaku ahli parlimen kerana beliau memegang kewarganegaraan asing ketika bertanding. Namun kenyataan itu tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa penyingkiran Kavakci ini dilakukan atas dasar untuk memelihara institusi sekular negara tersebut. Ekoran daripada itu, Parti Fazilet telah diharamkan pada Jun 2001, atas tuduhan menjadi pelopor gerakan anti-sekular.


Parti Keadilan serta Pembangunan atau Adeletve Kolkima Partisi (AKP), telah diasaskan oleh Recep Tayyip Erdogan, yang juga merupakan bekas ahli parti Fazilet yang diharamkan. Dalam pilihanraya umum Turki yang diadakan pada November 2002, AKP telah mencipta sejarah selaku parti politik Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan tanpa sebarang kerjasama dengan parti politik lain.

Dalam pilihanraya tersebut, AKP telah memperolehi 363 kerusi daripada 550 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Selain daripada mendampingi golongan miskin, AKP turut mengatakan komitmennya untuk menjalankan dasar ekonomi terbuka untuk membolehkannya menjalin jaringan ekonomi di peringkat antarabangsa. Nyata dasar ini telah membuahkan hasil buat AKP, yang berjaya meluaskan sokongan parti tersebut di kalangan rakyat Turki, yang telah bosan berada di bawah kepimpinan beberapa kerajaan campuran yang tidak stabil sebelum ini.

http://www.abim.org.my/content/view/84/30/

23 Mac 2008- Pentingnya Pendidikan Dari Akar Umbi

Pada hari ini aku mempelajari satu pengalaman baru, aku di ajak oleh teman ke tempat pengajian iqra’ ibu saudaranya bertempat di jalan ke tawang ,pada hari itu mereka mengadakan majlis Maulidul Rasul, yang mana dalam majlis yang dibuat secara kecil-kecilan sesama guru dan anak murid, mereka mengadakan pertandingan nasyid,azan dan bercerita.

Apa yang ingin saya sampaikan disini ialah usaha segolongan yang berusaha mendidikan anak-anak kecil belajar ilmu-ilmu agama, walaupun menghadapi pelbagai karenah daripada anak-anak murid yang rata-ratanya masih sekolah randah ini. Mereka mengatakan senang dengan suasana sebegini malah merasakan seronok, disamping mereka mencari rezeki mereka juga telah melakukan satu sumbangan besar terhadap islam iaitu menyerapkan nilai-nilai Islam kepada mereka yang masih kecil.

Apa yang saya dapat belajar ialah tidak semua orang yang boleh “hendle” kelas sebegini dan melayan anak muridnya yang pelbagai perangai dan “skill”. Allah itu maha adil, ada orang mahir dalam satu bidang, tetapi dia lemah dalam bidang lain. Sebab itu Allah memberitahu didalam Al-Quran “Berilah tanggungjawab kepada ahlinya” yang bermaksud bagi sesuatu bidang yang kita kurang mahir kepada yang tahu, seperti dalam sesebuah organisasi Ketua mestilah seorang yang berpengetahuan agama Islam, dan portfolio dibahagi kepada Ahli Y.B yang mahir dan layak memegangnya.

Betapa pentingnya memupuk anak-anak kecil dengan didedahkan ilmu-ilmu agama Islam dan membiasakan diri dengan suasana Islam bagi mewujudkan generasi yang faham akan agamanya seterusnya bersemangat untuk mempertahankan agama ini.

Sunday, March 23, 2008

Pengenalan Blog BadrulHaq.Blogspot.Com

Blog merupakan salah satu jalan atau alternatif bagi seseorang untuk berkongsi ilmu ada juga yang menggunakan blog sebagai medium untuk mengutarakan pendapat dan menegur tentang isu-isu semasa yang berlaku disekeliling mereka. Tetapi lebih menfaat jika menggunakan web blog ini sebagai salahsatu alternatif berdakwah melalui media siber dan bersesuaian dengan peredaran zaman.


Perkataan BADRUL HAQ merupakan dua perkataan yang disatukan untuk menjadi satu nama iaitu Purnama Kebenaran. Saya menggunakan Purnama kerana Bulan mengambil alih tugas matahari memantulkan cahaya kebumi untuk menerangi alam pada waktu malam. Dan saya gandingkan dengan perkataan Haq yang bermaksud kebenaran @ tiada syak.


Purnama diibaratkan dengan seorang yang berilmu yang belajar daripada gurunya seterusnya menyebarkan kepada masyarakat bagi mewujudkan modal insan yang berilmu agama dan professional yang boleh berbakti kepada masyarakat. Selain itu juga ia boleh digambarkan matahari yang memancarkan cahaya iaitu Rasulullah SAW dan Purnama itu para da’ie @ Ulamak @ Mujahid yang menyambung pencaran risalah rasul selepas pemergian baginda.


Bulan juga dapat menggambarkan seorang hamba yang bergantung kepada matahari iaitu Tuhan untuk menjalankan kehidupan didunia seterusnya memancarkan cahaya daripada matahari itu iaitu syariat Allah untuk menerangi alam iaitu melaksanakan hukum Islam bagi mewujudkan keadilan dan keharmonian dalam kehidupan didunia.


Punama ini digandingkan dengan kebenaran kerana saya ingin jadikan blog ini sebagai tempat saya berkongsi ilmu,mengeratkan ukuwwah dan yang paling penting menyebarkan dakwah alam siber yang bersesuaian dengan zaman era globalisasi dunia tanpa sempadan ini.

Tuesday, March 18, 2008

Pada Suatu Pagi Di KL Sentral

Pada suatu pagi 5 Mac 2008, saya rancang untuk balik ke Kelantan untuk mengundi dengan kereta api, alhamdulillah tiket masih ada, pada jam 8.30mlm naik di KL Sentral, pada waktu ini masih awal, jadi aku berehat sebentar di McDonald untuk makan, Aku menempah 1 set McChiken dan 1 Aiskrim Sunday Chokolate.

Aku duduk sambil makan , makanan yang telah aku tempah tadi sambil memerhatikan gelagat pelanggan disini. Apa yang menariknya aku terlihat seorang perempuan pakai baju t-shirt lengan panjang warna pink dan bertudung, perempuan tu agan cantik, pastu datang seorang lelaki dan bergek-gerak tangan,aaku perhati lagi, perempuan itu juga membalas dengan benda yang sama.

Barula aku mengerti rupanya-rupanya mereka berdua itu bisu,apa yang menariknya mereka itu macam orang sempurna, saling mengerti, itu la kelebihannya bahasa isyarat yang telah berjaya mengubah mereka yang tidak bernasib baik tetapi boleh menjalankan kehidupan seperti insan biasa.

Kesimpulannya disini, pentingnya kefahaman antara manusia, selain daripada keselarasan bahasa, kesamaan kefahaman juga penting bagi menjaga sillaturrahim sesama manusia, bak kata pujangga Rambut Sama Hitam, Tetapi Hati Lain-lain. Itu la islam mengajar kita, segala tindakan kita perlu berpandukan kepada sesuatu yang boleh memberi kafahaman dan menyelesaikan segala masalah iaitu Al-Quran.Apabila semua orang berpandukan kepada Al-Quran,Assunnah dan para ulamak tabi’tabiin. Tidak ada perpecahan antara sesama Islam.

Monday, March 3, 2008

PKPIM nafi sokong calon BN

Hilmi(tengah) & Muntaqim(kiri)


KUALA LUMPUR, 3 Mac (Hrkh) -
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menafikan kenyataan kononnya dibuat oleh Setiausaha Agung PKPIM, Abdul Muntaqim Zulkifli yang menyatakan sokongan terhadap calon Barisan Nasional bagi DUN Tumpat, Kelantan, Dr Asyraf Wajdi Dato' Dusuki.

Menurut Presiden PKPIM, Mohd Hilmi Ramli melalui satu kenyataannya hari ini, PKPIM tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan dan edaran yang berupa sokongan kepada calon tersebut.

Katanya kenyataan media palsu itu diedarkan difaksakan ke jaringan dakwah PKPIM.

Tegasnya kenyataan tersebut merupakan kenyataan palsu yang direka oleh pihak yang tidak bertanggung jawab dengan mengggunakan nama PKPIM.

Beliau juga melahirkan kekesalan dengan sikap sesetengah pihak yang cuba memburukkan nama PKPIM dengnan membabitkan sikap partisan PKPIM dalam Pilihan raya umum ke-12 ini.

"Sebagai sebuah gerakan dakwah pelajar Islam peringkat kebangsaan, PKPIM sentiasa mempertahankan prinsip non-partisan iaitu prinsip untuk tidak menjadi proksi atau cabang kepada mana-mana parti politik.

"Kami menghormati Dr Asyraf Wajdi sebagai mantan Presiden PKPIM tahun 1999 hingga 2001. Bagaimanapun penyertaan beliau dalam kancah politik dan menjadi calon dalam PRU kali ini adalah merupakan keputusan peribadi beliau yang tidak ada kaitan dengan PKPIM,"katanya.

Tegas Hilmi, sebagai gerakan dakwah Islam, PKPIM harus merentasi batasan kepartian dan perkauman yang sempit.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak yang bertanding dalam PRU-12 ini bertanding secara berhemat dan bersih demi memastikan kejayaan diredai Allah.

Kenyataan media palsu yang cuba meniru logo PKPIM yang tidak mempunyai nombor pendaftaran serta tidak bertarikh itu menyatakan pencalonan Asyraf adalah wajar dan layak memimpin Parlimen Tumpat.

Selain kepala surat (letter head) yang berbeza sebagaimana yang sering digunakan PKPIM dalam sebarang urusan rasmi, motto persatuan itu juga di'palsukan'.

Katanya, motto PKPIM 'Hidup Biar Berjasa dan Menuju Generasi Pemersatu Ummah' dipalsukan sebagai 'Hidup Biar Bersaja'.